Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 April - Kerajaan komited untuk menambah semula dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) apabila krisis COVID-19 berakhir dan kewangan kerajaan kembali kukuh.
Itu jaminan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam Laporan Laksana ke-51 hari ini.
Katanya, penggunaan dana KWAN dalam bentuk geran juga penting untuk memastikan defisit fiskal kekal di bawah sasaran 6.0% pada penghujung 2021.
“Objektif KWAN apabila ditubuhkan 33 tahun dahulu adalah untuk melindungi 'generasi masa depan'. Siapa lagi 'generasi masa depan' itu jika bukan kita, di saat mengharungi cabaran COVID-19 yang mungkin krisis paling getir dan serius di dalam sejarah Malaysia?
“Pelaksanaan projek infrastruktur awam utama yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi akan turut menyokong pertumbuhan dan meningkatkan daya saing negara.
“Memang kita boleh meminjam lagi, tetapi hakikatnya kerajaan telah mewarisi hutang, pinjaman dan liabiliti kerajaan melebihi RM1 trillion, termasuk jaminan pinjaman tanpa sumber pembayaran balik seperti hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), 1MDB Energy, SRC International dan sebagainya,” katanya.
Pindaan undang-undang ke atas Akta KWAN 1988 melalui Ordinan Darurat baru-baru ini membolehkan dana itu digunakan hanya untuk perolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi sebarang wabak penyakit berjangkit, kata Tengku Zafrul.
Baca : Wajar guna RM5 bilion dana KWAN untuk beli vaksin - MoF
Baca : KJ perjelas peruntukan tambahan RM2 bilion program vaksin
Ujarnya lanjut, anggaran RM5 bilion bagi perolehan vaksin dari dana KWAN hanyalah menggunakan jumlah pulangan pelaburan yang dijana tetapi jumlah pokok RM10.4 bilion masih kekal dan tidak digunakan.
“Vaksinasi adalah kunci utama kepada pemulihan ekonomi dan tiada lagi langkah terbaik untuk melindungi rakyat kecuali dengan memastikan imunisasi kelompok melalui vaksinasi.
“Namun begitu, jika diperhatikan, kes COVID-19 kian meningkat dan kini telah mencecah lebih 3,000 kes sehari. Jika kita leka dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP), maka harapan untuk memulihkan ekonomi dan kehidupan seperti sedia kala sukar untuk dicapai.
“Sehubungan itu, kejayaan semua dasar-dasar ini bergantung kepada pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 kebangsaan (PICK) yang lancar dan juga pematuhan SOP secara konsisten yang merupakan kunci kepada pemulihan ekonomi negara,” jelas beliau lagi.
Dalam tempoh 13 bulan, atau sejak Mac 2020 hingga Mac 2021, kerajaan telah mengumumkan enam pakej rangsangan ekonomi bernilai RM340 bilion.
Ini melibatkan suntikan fiskal sebanyak RM65 bilion atau hampir 4.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam menangani cabaran COVID-19.
Melalui pemantauan oleh Laksana, pakej-pakej rangsangan ekonomi telah memanfaatkan lebih dari 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan.
Setakat ini, lebih daripada 60% inisiatif telah disalurkan. - DagangNews.com








