MN Holdings raih kontrak EPC projek solar di Terengganu bernilai RM28.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MN Holdings raih kontrak EPC projek solar di Terengganu bernilai RM28.5 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Dis – MN Holdings Bhd. memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) membabitkan loji solar berskala besar (LSS) bernilai RM28.5 juta di Machang, Terengganu.

 

Syarikat utiliti bawah tanah dan pakar kejuruteraan pencawang itu menerima surat anugerah menerusi anak syarikat milik penuhnya, MN Power Transmission Sdn. Bhd. yang dilantik sebagai subkontraktor projek tersebut daripada Century Supplies Sdn. Bhd.

 

Di bawah kontrak itu, MN Power akan menjalankan kerja-kerja subkontrak elektrik dan kejuruteraan awam untuk pembangunan kemudahan sambungan arus ulang-alik (MWac) 100 mega watt untuk loji LSS.

 

Projek tersebut yang dijangka siap menjelang Disember 2023 akan menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) dan FY24 serta aset bersih sesaham sepanjang tempoh kontrak. 

 

Pengarah Eksekutif MN Holdings, Dang Siong Diang berkata, segmen kejuruteraan pencawang syarikat terus mencapai kadar pengisian semula yang kukuh sejak penyenaraiannya pada April.

 

"Kontrak baharu ini mengukuhkan lagi dan menambah kepercayaan kepada rekod prestasi kami dalam industri.

 

"Kami akan terus memanfaatkan kecekapan teras kami sebagai pakar kejuruteraan utiliti bawah tanah dan pencawang untuk membida lebih banyak kontrak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

MNHB telah menggandakan nilai kontraknya sejak penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd., 28 April lalu.

 

Perolehan terbaharu itu akan meningkatkan nilai kontrak syarikat kepada kira-kira RM356.89 juta, yang akan memberikan pendapatan yang sihat sehingga 2025. - DagangNews.com