KUALA LUMPUR 24 Mac - Pengedar sah Mitsubishi Motors Malaysia, JM Auto Gallery (Alor Star) berpindah ke pusat 3S baharu di Alor Setar, Kedah.
Pusat pameran terbaharu itu kini merupakan bilik pameran Mitsubishi Motors terbesar di wilayah utara, dengan pengedar sama juga mengembangkan jejaknya dengan membuka bilik pameran baharu di Langkawi.
Kedua-dua Pusat 3S dilengkapi dengan identiti jenama terbaru Mitsubishi Motors dengan mesej jenama global 'Drive Your Ambition'.
Menjangkau 10,000 dan 2,300 kaki persegi masing-masing di Alor Setar dan Langkawi, Pusat 3S menawarkan pelanggan persekitaran menyeluruh dengan ruang istirahat pelanggan yang selesa dengan WiFi dan sudut kanak-kanak.
Cawangan di Alor Setar didatangkan dengan pusat servis yang serba lengkap dengan lapan ruang servis sedia untuk melayani setiap kereta Mitsubishi.
Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors, Shinya Ikeda berkata, JM Auto Gallery (Alor Setar) tidak asing lagi dalam keluarga Mitsubishi Motors dan telah menjadi rakan kongsi perniagaan sejak 14 tahun lalu.
Katanya, pengedar itu juga merupakan penyumbang utama kepada jualan MMM, kerana syarikat itu menyaksikan peningkatan 37.3% dalam jualan dari Januari-Disember 2022 berbanding tempoh yang sama pada 2021.

"Kami gembira melihat pengedar yakin dengan pertumbuhan perniagaan MMM dan komitmen untuk menaik taraf kemudahan bilik pamerannya, dan juga untuk pembukaan cawangan baharu di Langkawi untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian ASEAN B Mitsubishi Motors Corporation (MMC), Ryoichi Inaba pula berkata, penempatan semula dan pembukaan bilik pameran JM Auto Gallery (Alor Setar) sangat mengagumkan, dan ini menunjukkan keyakinan peniaga Malaysia terhadap jenama Mitsubishi.
"MMC baru-baru ini mengumumkan Rancangan Perniagaan Jangka Separuh: Cabaran 2025 untuk memudahkan pertumbuhan masa depan, yang mana kami komited untuk memberi tumpuan kepada pasaran ASEAN termasuk Malaysia.
"Saya gembira melihat pasukan mengorak langkah ke hadapan ke arah meningkatkan pengalaman keseluruhan pelanggan," katanya.
Pusat pameran di Alor Setar terletak di Lot 10201B, Kampung Batin Mergong, Mukim Mergong, manakala di Langkawi pula terletak di No. 68, Pusat Perniagaan Kelana Mas Kuah. Kedua-dua bilik pameran dibuka dari Isnin hingga Ahad, mulai 8.30 pagi hingga 5.30 petang. - DagangNews.com








