MITI : Perdagangan Malaysia pada Oktober berkembang 21.1% kepada RM245.18 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MITI : Perdagangan Malaysia pada Oktober berkembang 21.1% kepada RM245.18 bilion

KUALA LUMPUR 17 Nov - Perdagangan Malaysia berkembang sebanyak 21.1% kepada RM245.18 bilion pada Oktober 2022 berbanding tahun lalu, sekali gus menandakan pertumbuhan dua digit yang ke-21 bulan berturut-turut, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

 

Eksport meningkat 15% kepada RM131.63 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-15 bulan berturut-turut manakala import naik 29.2% kepada RM113.54 bilion.

 

Bagaimanapun, lebihan dagangan berkurangan 32% kepada RM18.09 bilion pada bulan tersebut.

 

“Pertumbuhan eksport disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport keluaran petroleum, barangan elektrik dan elektronik (E&E), gas asli cecair (LNG) serta petroleum mentah.

 

“Eksport LNG mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini. Sementara itu, eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

miti

 

 

Bagi tempoh 10 bulan pertama 2022, perdagangan, eksport dan import telah melepasi nilai yang direkodkan pada keseluruhan 2021.

 

Perdagangan meningkat 31.6% kepada RM2.375 trilion berbanding tempoh yang sama 2021 dan eksport naik 28.5% kepada RM1.29 trilion.

 

Menurut MITI, import melepasi aras RM1 trilion buat pertama kali, melonjak 35.4% kepada RM1.085 trilion dan lebihan dagangan naik 1.3% kepada RM205.61 bilion.

 

Dari segi prestasi eksport mengikut sektor, eksport barangan perkilangan pada Oktober 2022 yang merangkumi 84.5% daripada jumlah eksport meningkat 12.6% tahun ke tahun kepada RM111.18 bilion.

 

Keluaran petroleum dan barangan E&E masing-masing telah merekodkan kenaikan eksport melebihi RM1 bilion.

 

“Eksport hasil galian melonjak 85.9% tahun ke tahun kepada RM11.22 bilion, nilai bulanan tertinggi setakat ini dan merupakan pertumbuhan dua digit yang ke19 bulan berturut-turut. 

 

"Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport LNG dan petroleum mentah,” jelasnya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Eksport keluaran pertanian menguncup 7% kepada RM8.6 bilion berbanding Oktober 2021 disebabkan oleh pengurangan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta getah asli.

 

Pada tempoh Januari hingga Oktober 2022, hampir kesemua barangan telah merekodkan peningkatan eksport.

 

“Eksport barangan perkilangan melebihi nilai yang direkodkan pada keseluruhan tahun 2021, naik 25.3 peratus kepada RM1.087 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

 

“Ini disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta kimia dan bahan kimia,” katanya. - DagangNews.com