KUALA LUMPUR 3 Jun - Datuk Yee Yang Chien yang kini merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MISC Bhd. akan bersara berkuat kuasa 30 September 2022 setelah bergelumang dalam dunia maritim selama lebih 20 tahun.
Beliau mula dilantik ke jawatan tersebut sejak 2015, dan pernah memainkan pelbagai peranan dalam kumpulan dalam tempoh karier yang panjang dan luar biasa.
Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, MISC berkata, jawatan tersebut akan diisi oleh Kapten Rajalingam Subramaniam, Ketua Pegawai Operasi MISC dan Presiden/CEO AET.
"Beliau akan memulakan tugas sebagai Presiden dan CEO Kumpulan MISC berkuat kuasa 1 Oktober 2022," katanya.
Sepanjang tempoh perkhidmatan, menurut MISC, Yang Chien telah mengemudi transformasi MISC menjadi konglomerat maritim antarabangsa yang hebat dan berdaya tahan serta mengetuai strategi dalam memperkemas portfolio perniagaan bagi memenuhi penyelesaian dan perkhidmatan maritim berkaitan tenaga.
Bahkan, beliau turut memainkan peranan penting dalam pengambilalihan AET oleh MISC, penyedia penyelesaian petroleum dan produk perkapalan global terkemuka, pembentukan Eaglestar, penyedia perkhidmatan marin bersepadu bertaraf dunia dan mengetuai usaha sulung kumpulan dalam mendapatkan projek penyimpanan, pengeluaran terapung dan pemunggahan (FPSO) air dalam yang pertama di Brazil.
Semangat perintis beliau telah membimbing kumpulan MISC untuk mempelbagaikan portfolionya kepada penyelesaian perkapalan gas bukan konvensional dan memperoleh 6 daripada kapal pengangkut ethana sangat besar (VLEC) terbesar di dunia pada 2020, yang secara efektifnya meletakkan MISC sebagai salah satu pemain utama dalam pasaran pengangkutan etana.
Sementara itu, MISC berkata, penggantinya, Kapten Rajalingam memulakan memulakan kerjayanya di laut dan darat pada 1996 dan sejak itu memegang pelbagai jawatan dalam kumpulan, termasuk Naib Presiden Fleet Management Services MISC Bhd. pada 2008 sebelum dilantik sebagai Presiden dan CEO AET pada 2016.
"Di luar peranan kepimpinannya dalam MISC, beliau juga berkhidmat dengan industri maritim global dalam pelbagai kapasiti termasuk sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Gard P&I dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Pemilik Kapal Tangki Bebas Antarabangsa (INTERTANKO).
"Beliau juga merupakan Panglima Kehormat Tentera Laut Diraja Malaysia, jawatan yang disandangnya sejak 2009," katanya. - DagangNews.com








