MIDF Research naikkan unjuran hasil Petronas Chemicals bagi FY22-FY23 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDF Research naikkan unjuran hasil Petronas Chemicals bagi FY22-FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 April - MIDF Research menyemak naik unjuran hasil Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 3% dan 4% sejajar dengan harga komoditi semasa. 

 

Ini mendorong firma itu menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM11.10 daripada RM10.68 sesaham sebelum ini berdasarkan tambatan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 11.5x terhadap semakan pendapatan sesaham (EPS) FY22 sebanyak 96 sen. 

 

Semalam, PCG mengumumkan hasil 2021 yang positif ketika mesyuarat agung tahunan (AGM) dengan merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM7.3 bilion, tertinggi sejak ia ditubuhkan.

 

Kumpulan turut mengisytiharkan dividen sesaham dan nisbah pembayaran tertinggi untuk FY21 sejak ia disenaraikan pada 2010 iaitu jumlah dividen sebanyak 56 sen, termasuk dividen khas sebanyak 10 sen sesaham sempena ulang tahun ke-10 PCG.

 

Menurut MIDF Research, tanpa mengira ketidaktentuan pemulihan ekonomi global ekoran pandemik COVID-19, gangguan rantaian bekalan dan inflasi harga, PCG mengekalkan tumpuannya pada operasi dan keselamatan loji, mencatatkan kadar penggunaan loji terbaik dalam kelasnya sebanyak 93%, jumlah pengeluaran 10.4 mT setiap setahun, dan rekod keselamatan yang sangat baik.

 

"Walaupun berkongsi pandangan yang sama dengan PCG bahawa penamatan perang boleh menstabilkan harga bahan mentah menjelang akhir FY22, tetapi kami percaya wujud ketidakpastian mengenai bagaimana dan bila perang akan berakhir.

 

"Sekiranya perang berakhir sekalipun, isu berkaitan inflasi dan kekangan bekalan global hidrokarbon yang ketat termasuk pandemik yang mash berlarutan, masih boleh memberi risiko yang boleh mengekalkan ketidaktentuan harga bahan mentah," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

Baca : Petronas Chemical rekod keuntungan bersih RM7.3 bilion bagi FY21, tertinggi dalam sejarah

 

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap PCG dan mengulangi pendirian positif terhadap prospek kumpulan. 

 

Ini berdasarkan kepada kedudukan lembaran imbangan yang kukuh dan portfolio yang meluas, kedudukan di peringkat tempatan dan serantau yang mantap serta mempunyai kepelbagaian produk. 

 

"PCG juga mempunyai hubungan luar biasa dengan rakan kongsi, pelanggan, pembekal dan pekerja, serta memberi tumpuan berterusan terhadap kemampanan dan keselamatan dalam operasi dan inisiatifnya," jelasnya.

 

Setakat 9.26 pagi ini, harga saham PCG menokok 2 sen atau 0.19% kepada RM10.40 dengan 151,700 saham diniagakan. - DagangNews.com