MIDF Research kurangkan kerugian bersih Tan Chong kepada RM38 juta bagi FY22 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDF Research kurangkan kerugian bersih Tan Chong kepada RM38 juta bagi FY22

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Nov - MIDF Research menyemak turun harga sasaran Tan Chong Motor Holdings Bhd. kepada RM1.19 daripada RM1.20 sesaham sebelum ini dengan pandangan 'neutral' berikutan prestasi kewangan pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 di bawah jangkaan penganalisis.

 

Firma itu kekal berhati-hati terhadap prospek Tan Chong dengan mengambil kira impak kekuatan dolar Amerika Syarikat (AS) terhadap hasil kumpulan dalam tempoh terdekat.

 

Menurutnya, jumalah keseluruhan industri (TIV) Nissan bagi tempoh kumulatif sembilan bulan adalah sebanyak 10,983, merangkumi 79% daripada jangkaannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).

 

"Namun, dolar AS semakin menunjukkan trend yang lebih kukuh daripada jangkaan, terutamanya pada separuh kedua FY22.

 

"Oleh itu, kami mengurangkan unjuran kerugian bersih bagi FY22 sebanyak RM38 juta memandangkan kami meningkatkan andaian TIV Nissan hampir kepada 14,000 unit.

 

"Ini diimbangi semakan menurun bagi ringgit berbanding dolar AS kepada RM4.40 (daripada RM4.30 sebelum ini). Buat masa ini, unjuran bagi FY23 kekal tidak berubah," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM6.88 juta pada suku ketiga berbanding kerugian bersih RM44.2 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat 66% kepada RM729.87 juta berbanding RM439.27 juta.

 

Penambahbaikan ini secara tidak langsung membantu mengurangkan kerugian bersih kumpulan untuk sembilan bulan pertama 2022 kepada RM6.4 juta, daripada RM58.68 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya dengan pendapatan meningkat 38% kepada RM2.31 bilion, daripada RM1.67 bilion.

 

MIDF Research berkata, Tan Chong melancarkan Serena S-Hybrid baharu pada Julai 2022 dan kumpulan itu menyatakan ia telah menerima sambutan menggalakkan untuk model berkenaan.

 

"Selain itu, permintaan untuk Navara dan Almera Turbo juga kukuh dengan tempahan yang banyak diterima walaupun selepas tamat pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan.

 

"Sementara itu, permintaan di Vietnam dipacu oleh MG5 dan MG ZS baharu (SUV segmen B)," katanya. - DagangNews.com