KUALA LUMPUR 3 Ogos - MIDF Research positif terhadap langkah AMMB Holdings Berhad mengadakan perbincangan bersama Great Eastern Holdings Limited berkaitan penjualan AmMetLife Insurance Berhad dan AmMetLife Takaful Berhad.
Firma penyelidikan itu melihat usaha itu sebagai cara untuk kumpulan itu memperkemaskan lagi struktur modalnya selain mengurangkan pendedahannya kepada risiko sektor insurans.
"Kerugian pendapatan bukan kebimbangan utama kerana sumbangan AmMetLife kepada keuntungan kumpulan tidak melebihi 2%.
"Kumpulan itu boleh mengikuti kebanyakan bank dan menandatangani kontrak bankasurans dengan entiti baharu itu untuk mengekalkan sebahagian daripada pendapatan yurannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, AMMB Holdings berkata, perbincangan itu adalah sebahagian biasa daripada kajian semula perniagaannya.
Katanya, perbincangan itu masih di peringkat awal dan tiada sebarang kepastian untuk memuktamadkan perjanjian mengenai perkara itu.
Firma penyelidikan itu menyemak naik andaian kos kredit dengan mengambil kira pengurangan tindanan balik untuk mengekalkan rizab kerugian pinjaman pada tahap yang lebih baik.
MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.98 sesaham.
Bagaimanapun, AMMB berdepan beberapa risiko termasuk pemulihan pendapatan bukan faedah kumpulan (NOII) yang lemah, tekanan margin faedah bersih (NIM) dalam perbelanjaan modal (opex) yang lebih tinggi daripada jangkaan. - DagangNews.com








