KUALA LUMPUR 13 Mac - Meta menghimpunkan lebih 100 pencipta kandungan di Malaysia dalam acara pelancaran Akademi Kreator Meta di ibu negara, yang disokong oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Akademi Meta akan memberi latihan dan sokongan percuma kepada semua pencipta kandungan yang baru bermula dan sedang berkembang bagi mempelajari daripada para pencipta kandungan tempatan lain yang lebih berpengalaman.
Mereka akan didedahkan kepada cara-cara menggunakan peralatan digital untuk pencipta kandungan di Facebook dan Instagram bagi menarik lebih ramai penonton, membina jenama tersendiri dan membangunkan kerjaya mereka melalui minat.
Meta juga mengalukan penyertaan para kreator yang masih berada di peringkat permulaan kerjaya, yang mewakili pelbagai genre termasuk makanan, pakaian, gaya hidup, muzik, serta format baru seperti Augmented Reality (AR) dan barangan koleksi digital.
Pengarah Dasar Awam Instagram Asia Pasifik (APAC) di Meta, Philip Chua berkata, pencipta kandungan menggunakan Facebook dan Instagram untuk berkongsi kisah, berhubung dengan komuniti, dan membina kerjaya.
"Sama ada mereka baru bermula, ataupun sudah melangkah lebih jauh, kami mahu menyokong mereka mencapai matlamat mereka.
"Melalui program ini, kami berharap untuk membantu mereka mempertingkatkan kemahiran mengakses kaedah terbaik, sumber dan kepakaran, agar mereka bersedia merebut peluang dan inovasi di masa hadapan sebagai seorang pencipta kandungan,” katanya dalam kenyataan.
Meta juga akan mengambil langkah tambahan untuk menskalakan sumber pendidikan tempatan, amalan terbaik serta perkembangan terkini kepada saluran dalam dan luar talian untuk menjangkau dan menarik lebih ramai kreator yang berkualiti di Malaysia.
Ketua Pegawai Pelaburan Digital MDEC, Raymond Siva pula berkata, ekonomi kreator berkembang pesat dan akan terus maju di Malaysia, seiring dengan kemunculan pelbagai jenis pencipta kandungan, platform dan sistem sokongan yang memenuhi kehendak industri ini.
Katanya, MDEC akan terus mendukung dan menyokong inisiatif yang memupuk peluang digital agar ekonomi gig semakin makmur.
Pengarah Negara Meta Malaysia, Nicole Tan berkata, akademi itu hanyalah permulaan dan pihaknya akan terus bekerjasama dengan MDEC memacu ekonomi kreator Malaysia ke depan, seterusnya menyumbang kepada agenda ekonomi digital negara serta menyokong pencipta kandungan untuk mencapai kejayaan. - DagangNews.com








