KUALA LUMPUR 16 Dis - Mercury Securities memberi harga sasaran pada 66 sen terhadap DS Sigma Holdings Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Saranan itu adalah berdasarkan kepada pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 5.1 sen dan harga perusahaan 13 kali sejajar dengan purata pemain industri lain.
Menurut firma itu, harga sasaran itu mewakili pulangan sebanyak 21% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO).
"Kami menyukai saham ini kerana ia menawarkan prospek pertumbuhan yang menarik dan kepelbagaian pelanggan dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) yang memfokuskan kepada industri solar fotovoltaik (PV) dan peranti perubatan
"Kumpulan mempunyai 2.6% bahagian pasaran mengikut perniagaan nilai di Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
DS Sigma menyediakan produk pembungkusan yang disokong oleh pembuatan dalaman produk papan beralun, pembekalan bahan pembungkusan dan penyediaan perkhidmatan dan penyelesaian nilai tambah yang berpotensi dapat mengurangkan kos pembungkusan untuk pelanggannya.
Syarikat itu mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 26.09 juta keping kadbod kosong untuk mesin pencetak flexographic dan 8.70 juta keping kepingan die-cutting untuk mesin die-cut automatik.
Dengan jumlah kawasan binaan seluas 100,000 kaki persegi dan jumlah tenaga kerja seramai 115 pekerja, syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk meningkatkan bahagian pasarannya sebanyak 2.6% dan mengembangkan kehadirannya dalam ruang E&E.
Dalam pelancaran prospektus syarikat sempena penyenaraiannya, kumpulan itu dijangka meraih RM50.15 juta daripada IPO dan akan menggunakan 34.30% daripada jumlah itu bagi mengembangkan kemudahan operasinya dan 31.91% untuk pembelian jentera dan peralatan baharu.
Sejumlah 2.27% lagi akan disalurkan ke arah penubuhan pusat reka bentuk dan inovasi pembungkusan manakala 11.96% akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan 10.79% adalah untuk modal kerja manakala baki 8.77% akan diperuntukkan untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
"Syarikat merancang untuk melabur dalam mesin robotik dan pembungkusan automatik sebagai sebahagian daripada rancangan masa depannya.
"Mereka juga berhasrat untuk mengautomasikan sepenuhnya pengeluaran karton beralun dan untuk menyelaraskan proses pembuatannya dan mengurangkan pergantungan kepada tenaga manusia pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com








