Meraque sedia takluk pasaran Asia Tenggara menerusi pemeriksaan infrastruktur telekomunikasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Meraque sedia takluk pasaran Asia Tenggara menerusi pemeriksaan infrastruktur telekomunikasi

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Jan - Meraque Services Sdn Bhd (Meraque) telah memulakan usaha bagi memperluaskan kedudukannya di pasaran Asia Tenggara dalam tempoh lima tahun akan datang. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Meraque, Md Razalee Ismail berkata, pada tahun ini, Meraque berusaha untuk  mengembangkan perniagaan ke peringkat global dan menambahbaik keupayaan teknologi syarikat. 

 

Beliau berkata, rancangan mereka adalah untuk menembusi pasaran Timur Tengah dan Afrika, serta memperkukuh kedudukan di Asia Tenggara, yang akan memperkuatkan komitmen dalam mencapai misi syarikat.

 

"Pelan pengembangan Meraque ke Indonesia dan Kemboja pada 2023 juga sedang berjalan dengan lancar melalui perkongsian strategik yang akan diumumkan tidak lama lagi. 

 

"Dalam tempoh 5 tahun akan datang, syarikat berharap dapat menjalankan pemeriksaan menggunakan dron ke atas lebih 20,000 menara telekomunikasi di seluruh Asia Tenggara, India dan Nepal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Md Razalee, Meraque juga sedang berbincang dengan syarikat yang berpangkalan di Filipina dengan potensi mengambil alih syarikat tersebut atau menjalin usaha kerjasama.

 

Katanya, teknologi dron mempunyai banyak potensi yang berupaya mengubah operasi industri telekomunikasi. 

 

"Kami berharap untuk menjalin lebih banyak kerjasama dengan syarikat-syarikat di seluruh Asia Tenggara serta dunia untuk benar-benar mengubah industri infrastruktur telekomunikasi dan seterusnya membentuk masa depan sektor rangkaian,” katanya.

 

 

meraque

 

 

Terdahulu, syarikat penyelesaian automasi itu menyatakan usaha itu dapat dilihat melalui projek pemeriksaan perintis yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu untuk sebuah syarikat infrastruktur telekomunikasi di Filipina.

 

Sebagai sebahagian daripada perkongsian strategik, Meraque telah menubuhkan pasukan untuk melaksanakan perkhidmatan audit tapak telekomunikasi melalui pengawasan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV). 

 

Misi penerbangan automatik tersebut sedang dijalankan di sekitar beberapa tapak utama projek, merentasi pelbagai wilayah di Luzon Selatan, Filipina termasuk Mindanao, Visayas, Metro Manila dan Palawan.

 

Melalui pemantauan menggunakan UAV, satu laporan analitik boleh dihasilkan secara automatik menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang kemudiannya akan dilaporkan kepada syarikat telekomunikasi tersebut. - DagangNews.com