Menjelang PRU15, pelabur asing kembali jual ekuiti RM272 juta minggu lalu - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Menjelang PRU15, pelabur asing kembali jual ekuiti RM272 juta minggu lalu - MIDF Research

Pilihan raya umum ke-15 yang berakhir Sabtu lalu menyaksikan keputusan Parlimen tergantung dan tiada kerajaan baharu dibentuk. - Gambar Facebook SPR
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Nov - Bursa Malaysia menyaksikan semula aliran keluar bersih asing sebanyak RM272 juta pada minggu lalu berikutan hari dagangan yang pendek bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15). 

 

Pada minggu sebelumnya, pasaran menyaksikan aliran masuk asing berjumlah RM425.6 juta, demikian menurut laporan aliran dana mingguan MIDF Research.

 

Pelabur asing mula menjual ekuiti pada Selasa yang merekodkan aliran keluar tertinggi sebanyak RM185.5 juta diikuti Rabu dan Khamis, masing-masing sebanyak RM79.9 juta dan RM62.2 juta. 

 

"Sebaliknya, pelabur institusi tempatan merupakan pembeli bersih ekuiti minggu lalu dengan mencatat aliran masuk berjumlah RM152.2 juta.

 

"Aliran masuk paling tinggi direkodkan pada Selasa sebanyak RM149.9 juta dan Rabu, RM39.2 juta.

 

"Sementara itu, Isnin dan Khamis menyaksikan aliran keluar asing masing-masing sebanyak RM34.3 juta dan RM2.3 juta," katanya dalam laporan itu hari ini.

 

Bagi pelabur runcit pula, menyaksikan aliran masuk sebanyak RM119.6 juta pada minggu berakhir 17 November 2022, setelah mereka menjual RM173.6 juta pada minggu sebelumnya.

 

"Mereka memulakan dagangan dengan menjual sebanyak RM21.3 juta ekuiti dan kemudiannya membeli ekuiti pada Selasa, Rabu dan Khamis masing-masing sebanyak RM35.6 juta, RM40.7 juta dan RM64.6 juta, tertinggi untuk minggu itu," katanya.

 

MIDF Research berkata, setakat ini dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih untuk 26 minggu daripada 46 minggu pada 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih RM5.91 bilion.

 

Institusi tempatan pula menjual bersih selama 31 daripada 46 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM7.99 bilion.

 

"Pelabur runcit tempatan pula telah menjadi pembeli bersih untuk 29 daripada 46 minggu pada 2022, dengan sehingga kini mereka telah menjadi pembeli bersih sebanyak RM2.08 bilion," katanya.

 

Dari segi penyertaan, terdapat kemerosotan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) oleh pelabur peruncit sebanyak 8%, pelabur institusi (3.3%) dan pelabur asing (0.1%).

 

Pada minggu lalu, indeks utama FBM KLCI susut 1.29% untuk berakhir pada 1,449.32 mata pada Khamis manakala ringgit susut 1.51% berbanding dolar AS kepada RM4.5527 pada penutupan dagangan. - DagangNews.com