MDEC lancar program Founders Grindstone tingkatkan syarikat pemula | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MDEC lancar program Founders Grindstone tingkatkan syarikat pemula

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 April - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan program pembangunan keupayaan dan pembinaan kapasiti utamanya, Founders Grindstone untuk tahun 2022.

 

Program berkenaan akan memperkasa usahawan teknologi bagi memaksimumkan potensi dan fokus mereka dalam perjalanan pengumpulan dana menerusi bengkel bersiri intensif dengan rakan professional daripada pemodal teroka (VC), pembina usaha niaga dan firma guaman.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, program itu bertujuan untuk membantu mempertingkatkan syarikat pemula, bukan sahaja dalam pitching dan penceritaan mereka, tetapi juga dalam proses asas pengumpulan dana seperti penilaian dan struktur modal saham yang amat penting dalam proses pengumpulan dana.

 

“Sejak tahun 2020, MDEC menganjurkan bengkel bersiri Founders Grindstone dengan kerjasama rakan strategik seperti AC Ventures, The Hive, RHL Ventures, pitchIN, Bintang Capital dan Emissary Capital, meliputi bidang seperti pengumpulan dana untuk akses pasaran, hutang teroka untuk pertumbuhan dan pengumpulan dana untuk syarikat dalam peringkat pertumbuhan.

 

"MDEC akan terus menganjurkan lebih banyak tawaran berkualiti dan VC yang lain menerusi Founders Grindstone melalui program kemudahan pembiayaan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Justeru, mulai tahun 2022, program berkenaan akan dimulakan dengan Founders Grindstone Pockets iaitu program bengkel menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan negeri yang menyasarkan syarikat pemula di peringkat awal yang berhasrat untuk memahami lebih mendalam proses pengumpulan dana syarikat pemula. 

 

Bengkel ini akan disusuli dengan bengkel tematik yang dianjurkan berdasarkan sektor dan industri yang relevan dengan menyediakan pendekatan yang direka khusus untuk syarikat pemula dalam perjalanan pengumpulan dana. 

 

 

MDEC
Mahadhir Aziz

 

 

Kemuncak program ini adalah Founders Grindstone Bootcamp selama 8 minggu melibatkan 25 usahawan terpilih menerusi bengkel bersiri khusus untuk meningkatkan kelayakan mereka kepada pelabur serta kesediaan pelaburan mereka.

 

Program Founders Grindstone berlangsung mulai Februari hingga September 2022. Info lanjut mengenai program ini, boleh didapati dengan melayari https://mdec.my/gain/founders-grindstone/. - DagangNews.com