MCMC, PayNet lancar projek rintis Cashless@PEDi untuk pupuk budaya transaksi tanpa tunai penduduk luar bandar | DagangNews Skip to main content

MCMC, PayNet lancar projek rintis Cashless@PEDi untuk pupuk budaya transaksi tanpa tunai penduduk luar bandar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) bekerjasama melancarkan projek rintis Cashless@PEDi di 28 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) terpilih di seluruh negara. 

 

MCMC dalam satu kenyataan berkata, objektif utama projek rintis untuk membudayakan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan masyarakat luar bandar melalui pameran dan aktiviti yang bakal diadakan melalui PEDi.

 

Menurutnya, projek rintis Cashless@PEDi ini dilihat bertepatan dengan matlamat mempertingkatkan tahap literasi pembayaran digital di bawah Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia. 

 

"Menurut kajian cerapan pembayaran digital PayNet 2022, 78% rakyat negara ini masih lagi cenderung menggunakan pembayaran tunai pada tahun 2021, 11% kurang berbanding tahun 2020. 

 

"Namun, trend penggunaan tunai kembali meningkat pada 2022, terutamanya di kawasan luar bandar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

MCMC berkata, projek rintis ini bermula di PEDi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai dan PEDi Perumahan Awam (PA) Sri Sabah, Kuala Lumpur pada 31 Disember 2022 yang mana penduduk setempat didedahkan dengan maklumat dan kelebihan kaedah pembayaran tanpa tunai.

 

Katanya, penduduk berpeluang menikmati pengalaman berbelanja tanpa tunai melalui pelbagai kaedah e-pembayaran yang dikendalikan oleh PayNet, seperti kad debit (MyDebit), JomPay, DuitNow QR, dan sebagainya.

 

 

mcmc

 

 

mcmc

 

 

mcmc

 

 

Tambah kenyataan itu, pada Januari ini, kempen Cashless@PEDi diteruskan di PEDi Taman Kelisa dan PEDi FELDA Soeharto di Selangor, dan diikuti di beberapa PEDi di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. 

 

"MCMC dan PayNet akan mengkaji keberkesanan projek rintis ini sebelum program ini diperluaskan di PEDi lain di seluruh negara," katanya. - DagangNews.com