KUALA LUMPUR 15 Dis - McDonald’s Malaysia menyasarkan untuk membuka sehingga 500 restoran menjelang 2026, dalam usaha menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi dan menawarkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Setakat ini restoran makanan segera popular itu mempunyai lebih 330 restoran di seluruh negara.
Terbaharu, McDonald's telah melancarkan pembukaan rasmi restorannya yang terletak di lokasi strategik berdekatan IKEA di Batu Kawan, Pulau Pinang, berkeluasan 35,000 kaki persegi.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, Batu Kawan dilihat sebagai lokasi strategik di Pulau Pinang membolehkan mereka meluaskan lagi hospitaliti dan mencipta kenangan terindah kepada warga Pulau Pinang.
"Sejak pembukaannya pada Oktober tahun lalu, kami banyak menerima maklum balas positif daripada para pelanggan di kawasan ini, sehingga mampu mencapai purata jualan sebanyak RM1 juta setiap bulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azmir, tiga lagi restoran bakal dibuka di Nibong Tebal, Relau dan Air Itam.
"Kami berharap dapat meningkatkan lagi sumbangan kepada ekonomi tempatan melalui kira-kira 300 peluang pekerjaan untuk warga Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, McDonald’s dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia menyumbang Pek Kembali Ke Sekolah bernilai RM72,000 kepada 1,200 kanak-kanak sekolah rendah kurang berkemampuan di Pulau Pinang.
McDonald’s juga menunaikan zakat korporat berjumlah RM250,000 kepada Zakat Pulau Pinang di McDonald’s Pandu-Lalu Batu Kawan.
Melalui inisiatif-inisitatif ini, McDonald’s dengan kerjasama RMHC Malaysia, secara keseluruhannya telah menyumbang sebanyak RM1.1 juta kepada Pulau Pinang bagi 2022.

Selain itu, sejumlah RM1.5 juta berjaya dikumpul bagi menyediakan 25,000 Pek Kembali Ke Sekolah untuk diagihkan kepada para pelajar di seluruh negara pada tahun ini.
Sehingga kini, McDonald’s membayar zakat sebanyak RM9.85 juta kepada negeri-negeri di seluruh negara sejak syarikat mula membayar zakat pada 2017. - DagangNews.com








