KUALA LUMPUR 11 April - McDonald’s Malaysia menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM500,000 kepada Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi tahun 2022.
Ia merupakan jumlah tertinggi McDonald’s Malaysia mula membayar zakat perniagaan lima tahun lalu, sejak syarikat itu diambil alih Lionhorn Pte. Ltd pada tahun 2017, sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi.
Majlis pembayaran zakat perniagaan ini telah dihadiri oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Ustaz Mohd Nizam Yahya yang menyaksikan penyerahan zakat perniagaan daripada Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi kepada Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman.
Sehingga tahun ini, McDonald’s Malaysia akan membayar zakat perniagaan berjumlah RM9.85 juta untuk negeri-negeri di seluruh Malaysia sejak syarikat mula membayar zakat pada tahun 2017.
Sebagai pengiktirafan kepada McDonald’s Malaysia yang telah berterusan menjalankan tanggangjawab mereka sebagai sebuah entiti perniagaan milik umat Islam, PPZ-MAIWP telah sekali lagi menyerahkan Sijil Pembayar Zakat Perniagaan kepada McDonald’s Malaysia. Sijil ini akan dipamerkan di lebih 40 buah restoran McDonald’s di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Dalam pada itu, Azhar berkata, bayaran zakat perniagaan itu merupakan salah satu daripada inisiatif bagi menyumbang kembali kepada masyarakat yang memerlukan yang juga merupakan nilai teras McDonald’s Malaysia.
"Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak PPZ-MAIWP atas penyerahan Sijil Pembayar Zakat Perniagaan kepada McDonald’s Malaysia. Diharap dengan sijil-sijil yang akan dipamerkan di restoran kami, keyakinan masyarakat terhadap syarikat kami akan tetap utuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Hakim pula berkata, pihaknya yakin McDonald’s Malaysia mampu mempengaruhi lebih banyak syarikat di luar sana untuk menunaikan zakat perniagaan sekaligus dapat membantu meningkatkan ekonomi asnaf.

“Bulan Ramadan ini adalah masa yang terbaik untuk kita melipatgandakan ibadah. Oleh itu, ambillah kesempatan pada bulan ini untuk berbuat kebaikan dengan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan sebagai tanda kita mensyukuri nikmat yang diberi oleh Allah SWT,” katanya.
Ustaz Mohd Nizam berkata, MAIWP menzahirkan penghargaan kepada McDonald’s Malaysia atas komitmen berterusan melunaskan rukun Islam keempat.

"MAIWP terus mengharapkan kesedaran syarikat-syarikat besar untuk membayar zakat kepada Majlis Agama atau Pusat Zakat Negeri kerana dengan wang zakat anda inilah, kami akan terus dapat menyantuni masyarakat Islam terutamanya asnaf yang memerlukan.
"Insyaallah, kita harap kolaborasi strategik sebegini akan diteruskan dari masa ke masa dalam usaha kita membantu asnaf meneruskan kelansungan hidup,” katanya.

McDonald’s Malaysia juga telah mengadakan Program Ziarah Komuniti Asnaf, dengan menyantuni 50 buah keluarga asnaf di sekitar kawasan Danau Kota, Kuala Lumpur dan menyerahkan sumbangan wakalah agihan dalam bentuk ‘kotak rezeki’ dan duit raya. - DagangNews.com








