KUALA LUMPUR 7 April - McDonald’s Malaysia memperluaskan inisiatif 'Misi Moreh Mekdi' ke 20 buah universiti awam seluruh negara dengan menaja hidangan moreh untuk lebih 12,000 pelajar yang memerlukan sepanjang Ramadan ini.
Acara Misi Moreh Mekdi yang telah dilaksanakan sejak 9 tahun lalu itu diadakan di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, ia merupakan sebahagian daripada keseluruhan program Misi Moreh Mekdi selain tajaan hidangan moreh kepada komuniti lebih dari 300 buah surau dan masjid di sekitar kawasan operasi restoran McDonald’s.
“Sebagai sebuah organisasi yang sentiasa mendekati komuniti setempat, kami juga mengambil peluang di bulan Ramadan ini untuk bersama-sama membantu meringankan beban pelajar yang memerlukan.
"Kami memahami keperluan para pelajar yang kurang berkemampuan dan diharap usaha ini sedikit sebanyak dapat menceriakan mereka terutama ketika berjauhan dengan keluarga ketika ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi memeriahkan lagi acara Misi Moreh Mekdi, majlis gotong-royong menyediakan bubur lambuk dan hidangan berbuka puasa turut diadakan di kampus UiTM Shah Alam dengan disertai sukarelawan-sukarelawan dari McDonald’s Malaysia, Harian Metro dan pelajar-pelajar UiTM.


Selain agihan bubur lambuk dan majlis berbuka puasa, kotak rezeki yang mengandungi makanan asas untuk keperluan harian juga disampaikan kepada pelajar-pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.

Dengan peningkatan jumlah restoran saban tahun, 2022 adalah tahun kejayaan bagi McDonald's dengan pencapaian jumlah pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan paling banyak setakat ini iaitu lebih 19,000 program komuniti. - DagangNews.com








