KUALA LUMPUR 20 Nov - Parti MCA dan MIC hari ini secara rasmi menyatakan hilang kepercayaan terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selain mendesak agar beliau segera melepaskan jawatan itu.
Dalam kenyataan media berasingan, dua pimpinan kanan parti tersebut berkata, kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memberi signal yang jelas perlu ada perubahan dari segi struktur pimpinan gabungan itu, lapor Astro Awani.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, parti itu terkejut dan kecewa atas keputusan Ahmad Zahid menangguhkan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadualkan pada malam ini.
“Pada masa keadaan politik negara masih tidak stabil dan tidak menentu selepas PRU15 baru-baru ini, keperluan Mesyuarat Dewan Tertinggi adalah amat terdesak untuk membincangkan situasi politik terkini dan membuat keputusan BN sebagai satu blok.
“MCA mengambil pendirian yang tegas bahawa tiada mana-mana pihak yang berhak mewakili BN untuk berunding dengan mana-mana parti politik tanpa mandat daripada Dewan Tertinggi BN,” katanya lagi.
Chong selanjutnya berkata, Ahmad Zahid harus segera meletakkan jawatan dengan terhormat supaya seorang pemimpin baharu dapat mengambil alih pucuk pimpinan BN untuk menentukan hala tuju parti.
Pada masa yang sama katanya lagi, MCA berpendapat bahawa pemangku pengerusi BN perlulah memanggil Mesyuarat Dewan Tertinggi dengan kadar segera.
Dalam pada itu Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy berkata, “Anggaplah ini satu pengajaran buat kita semua. Peletakan jawatan ini juga untuk memberi laluan kepada pimpinan lain yang mampu membawa perubahan jika tidak mahu berdepan dengan penolakan lebih teruk pada masa hadapan.
“Saya mohon sangat dari lubuk hati saya, dengan penuh rasa hormat supaya Pengerusi BN untuk meletak jawatan. Inilah yang juga dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak telah berjiwa besar dengan meletak jawatan sebagai Presiden pada 2018,” katanya.
Tegas Mohana lagi, Ahmad Zahid perlu mengambil tanggungjawab penuh kerana bertindak menukar 10 calon BN yang mempunyai kekuataan undi putih sehingga menyebabkan kekalahan begitu teruk semalam.
“Tindakan ini juga telah menyebabkan kita kalah dengan begitu teruk walhal calon-calon ini merupakan antara yang mampu memberikan kita kemenangan pada PRU15 ini.
“Rata-rata kekecewaan akar umbi dan umbi dengan tindakan Presiden itu sehingga memboikot dan tidak bersemangat membawa kemenangan untuk BN.
“Tempias itu turut dirasai oleh calon-calon lain kerana jentera tidak dapat bekerja dengan semangat tinggi untuk membawa kemenangan buat BN. Suka atau tidak, ini adalah realiti dan kebenaran pahit,” tegasnya lagi. - DagangNews.com








