MBOT, Perkeso perkasa peluang pekerjaan menerusi pengiktirafan kepada teknologis dan juruteknik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBOT, Perkeso perkasa peluang pekerjaan menerusi pengiktirafan kepada teknologis dan juruteknik

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Feb - Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memperkasa peluang pekerjaan dengan memberi pengiktirafan kepada teknologis dan juruteknik di Malaysia, yang dijangka bakal memanfaatkan industri dan jutaan pekerja.

 

Ini kali pertama MoU seumpama itu dimeterai oleh MBOT dan Perkeso, yang didapati amat signifikan dan diperlukan bagi memberi wajah baharu kepada sektor pekerjaan di negara ini selari dengan hasrat kerajaan dan keperluan di kedua-dua peringkat tempatan dan global.

 

MBOT, yang ditubuhkan pada tahun 2015 dengan tujuan untuk memartabatkan industri dan para teknologis dan juruteknik, telah diwakili oleh Presidennya, Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir, manakala Perkeso pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed.

 

Majlis bersejarah ini telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar pada Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya Myfuturejobs 2023 pada 11 Februari 2023.

 

Siti Hamisah berkata, MBOT sentiasa komited untuk menyumbang dalam penambahbaikan ekosistem tenaga kerja negara dan pembangunan kebolehpasaran program. 

 

Justeru itu, kata beliau, salah satu agensi penting yang perlu dibantu dan diberi sokongan ialah Perkeso.

 

“Oleh itu, pemeteraian kerjasama ini merupakan satu inisiatif MBOT untuk meningkatkan ketersediaan dan kebolehpasaran bakat-bakat teknologi dan teknikal tempatan terutama dalam kalangan ahli MBOT. 

 

“Dengan penglibatan secara aktif bersama Perkeso menerusi Portal Pekerjaan Kebangsaan MYFutureJobs, MBOT akan memainkan peranan untuk memberi pendedahan kepada ahli-ahlinya mengenai penempatan pekerjaan dan padanan kerjaya dalam pelbagai bidang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, selain mengiktiraf para teknologis dan juruteknik, MBOT terus mengorak langkah meningkatkan pendaftaran dengan mengadakan pelbagai inisiatif, antaranya kunjungan hormat, memeterai MoU dan penyebaran maklumat di semua peringkat. 

 

Katanya, sehingga Januari 2023, lebih 67,000 teknologis dan juruteknik telah mendaftar dengan MBOT, sekali gus menunjukkan penerimaan dalam kalangan pemegang taruh semakin baik.

 

Karnival Kerjaya MYFutureJobs yang diadakan dari 11 hingga 12 Februari 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menghimpunkan sebanyak 100 majikan pelbagai sektor industri dari seluruh negara yang bakal menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan sasaran seperti lepasan sekolah, graduan, Orang Kelainan Upaya, profesional dan lain-lain. - DagangNews.com