Maybank terima pengiktirafan Asiamoney sebagai syarikat paling cemerlang kali kedua berturut-turut | DagangNews Skip to main content

Maybank terima pengiktirafan Asiamoney sebagai syarikat paling cemerlang kali kedua berturut-turut

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Maybank sekali lagi telah diiktiraf atas kecemerlangannya dalam keupayaan Perbankan dan Perkhidmatan Kewangan oleh Asiamoney. 

 

Kumpulan memenangi lima anugerah dan mengungguli dua undian untuk 2022, memaparkan kekuatannya merentasi francais kumpulan iaitu pengguna dan perniagaan-perniagaan menyeluruh di Malaysia serta antarabangsa dengan memperolehi pengiktirafan Bank Antarabangsa Terbaik di Kemboja.

 

Diumumkan pada 21 September 2022 oleh Asiamoney, Maybank telah dinamakan sebagai Syarikat Paling Cemerlang di Malaysia - Sektor Perbankan untuk tahun kedua berturut-turut di bawah Undian Syarikat Cemerlang Asia tahunan Asiamoney.

 

Pada masa yang sama, Maybank menerima tiga anugerah di bawah Anugerah Bank Terbaik Asiamoney pada 2022 iaitu Bank Terbaik untuk Kepelbagaian & Keterangkuman di Malaysia, Bank Pelaburan Terbaik di Malaysia (Maybank Investment Bank) dan Bank Antarabangsa Terbaik di Kemboja. 

 

Asiamoney menyatakan di laman sesawangnya bahawa Maybank dilihat sebagai ejen perubahan dalam industri, mendorong bank-bank lain untuk meningkatkan kepelbagaian bagi mengukuhkan prestasi ekonomi yang lebih luas. 

 

Inisiatif penting pekerja dan kepimpinan pemikir industri yang telah menyumbang kepada kemenangan Maybank termasuk Hari Kepelbagaian sulung kumpulan yang diadakan pada 2021 dan pelancaran Program Allyshipnya.

 

Sementara itu, kemenangan berturut-turut tahunan kedua Maybank Investment Bank (Maybank IB) disokong pencapaian utama dalam pengurusan pelaburan dan unit perbankan pelaburan dan penasihatnya. 

 

Asiamoney mengakui bahawa Maybank IB juga merupakan pelopor kepada pelaburan hijau Malaysia yang semakin mendalam dan pasaran sukuk yang mampan. Selain daripada memenangi mandat, motivasi itu mencerminkan manfaat sosial dan alam sekitar yang meluas dalam menginstitusikan kewangan hijau di negara ini.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, anugerah dan undian ini mengukuhkan semula komitmen Maybank dalam menyediakan penyelesaian yang menyokong keperluan keseluruhan pelanggan serta memberi penekanan kepada perkhidmatan pelanggan yang berkualiti.

 

“Kami telah merintis pelbagai tawaran digital dan kemampanan untuk membantu pelanggan kami beralih kepada ekonomi digital dan hijau yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan usaha kami telah ditampilkan dengan kedudukan kepimpinan kami di Malaysia serta di rantau ini. 

 

"Kami akan terus menyampaikan penyelesaian dan tawaran progresif berdasarkan komitmen kami untuk mendengar keperluan pelanggan pada setiap masa di seluruh pasaran kami selaras dengan misi kami untuk Menginsankan Perkhidmatan Kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. - DagangNews.com