Maybank Islamic dinobat Bank Islam Terbaik Asia di Anugerah Kewangan Islam Euromoney 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank Islamic dinobat Bank Islam Terbaik Asia di Anugerah Kewangan Islam Euromoney 2023

Ketua Pegawai Eksekutif Greater China dan Pengurus Besar Maybank, Cawangan Hong Kong, Felino James Marcelo (tengah) menerima anugerah berkenaan bagi pihak Maybank Islamic semasa majlis Anugerah Euromoney yang diadakan di Hong Kong baru-baru ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Maybank Islamic telah dinobatkan sebagai Bank Islam Terbaik di Asia dan Malaysia di Anugerah Kewangan Islam Euromoney 2023 yang julung kali diadakan baru-baru ini.

 

Maybank Islamic diiktiraf sebagai bank Islam terbaik Malaysia kerana ‘ia mendahului pesaingnya dalam bahagian pasaran untuk jumlah aset, pembiayaan, deposit dan akaun pelaburan tanpa had’, kata Euromoney yang mengumumkan perkara tersebut dalam majalahnya baru-baru ini.

 

Majalah kewangan Euromoney telah beroperasi lebih daripada 50 tahun sejak 1969 untuk membuat liputan mengenai kemunculan pasaran modal rentas sempadan antarabangsa

 

“Pengiktirafan ini membuktikan prestasi kami bertambah baik tahun ke tahun, memiliki visi strategik dan usaha berterusan untuk mencapai kecemerlangan dalam industri perbankan yang berdaya saing tinggi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican dalam satu kenyataan media hari ini.

 

 

Datuk Mohamed Rafique Merican
Datuk Mohamed Rafique Merican

 

 

Seiring dengan strategi M25+ Maybank, Mohamed Rafique berkata Maybank Islamic mempergiatkan usaha agar cepat menyesuaikan diri dengan dinamik pasaran yang berubah-ubah.

 

“Aspirasi kami lebih daripada mengembangkan aset kami kerana kami sentiasa meletakkan sasaran untuk menjadi peneraju dalam menyediakan produk dan rumusan patuh Syariah bertaraf dunia.

 

“Salah satu tumpuan utama Maybank adalah menawarkan rumusan Pengurusan Kekayaan Islam holistik, merentasi Singapura sebagai hab serantau dan Dubai,” ujar beliau.

 

Setakat akhir tahun 2022, Maybank Islamic berkata ia memiliki penguasaan pasaran sebanyak 29.6% daripada pembiayaan Islam dan 27.8% untuk akaun deposit dan pelaburan.

 

Jumlah asetnya berjumlah RM320.1 bilion, menjadikannya bank Islam nombor lima terbesar di dunia.

 

Majlis anugerah itu berlangsung di Hong Kong minggu lalu dan Maybank Islamic diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Greater China dan Pengurus Besar Maybank, Cawangan Hong Kong. Felino James Marcelo. - DagangNews.com