Maybank IB : Kadar fedah tinggi akan terus pengaruhi kemampuan pembeli hartanah pada 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB : Kadar fedah tinggi akan terus pengaruhi kemampuan pembeli hartanah pada 2023

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Jan - Faktor luaran akan terus berlarutan sehingga 2023 dan berkemungkinan menjejaskan saham-saham hartanah, demikian menurut Maybank Investment Bank (IB). 

 

Ini terutamanya berpunca daripada dasar monetari yang lebih ketat, gangguan rantaian bekalan dan masalah kekurangan buruh. 

 

Penganalisisnya, Wong Wei Sum berkata, pemaju mungkin akan terus berhati-hati dan memperlahankan pelancaran baharu projek hartanah.

 

Setakat ini, katanya, tiada petunjuk bagi sasaran jualan bagi tahun kewangan 2023 (FY23), yang kemungkinan mendatar atau naik sedikit disebabkan pelancaran yang lebih perlahan oleh pemaju kerana isu bekalan buruh masih berterusan dan tidak dapat diselesaikan.

 

"Bagi mengelakkan kos pembinaan yang lebih tinggi dan kelewatan penyerahan rumah, beberapa pemaju merancang untuk memperlahankan pelancaran baharu.

 

"Malah, mereka juga bimbang terhadap permintaan hartanah memandangkan kadar faedah yang lebih tinggi akan menjejaskan kemampuan pembeli," katanya dalam nota kajian bertarikh 27 Disember 2022.

 

Daripada tujuh pemaju di bawah liputan firma, keuntungan bersih tiga syarikat hartanah bagi tahun kewangan berakhir September/Oktober 2022 adalah memenuhi jangkaannya manakala dua mengatasi jangkaan dan dua lagi du bawah jangkaan disebabkan margin projek yang lebih rendah daripada jangkaan.

 

Menurut Wei Sum, berdasarkan perbincangan dengan beberapa pemaju, didapati permintaan bagi hartanah sederhana kepada rendah semakin perlahan memandangkan kemampuan pembeli pendapatan rendah hingga sederhana terjejas akibat kenaikan kadar faedah.

 

Namun, katanya, kadar faedah yang lebih tinggi masih belum menjejaskan momentum jualan hartanah secara ketara.

 

"Statistik terkini juga menunjukkan permohonan pinjaman gadai janji telah menurun 7% suku ke suku manakala -15% tahun ke tahun kepada RM33.5 bilion pada Oktober 2022," jelasnya.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, hartanah perindustrian mula meraih peningkatan pada 2022 terutamanya selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa pada April lalu.

 

"Kami menjangkakan momentum jualan yang kukuh akan berterusan sehingga 2023 dengan lencongan pelaburan dari China semakin meningkat berikutan perang perdagangan AS-China yang masih berlarutan," katanya.

 

Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah. -DagangNews.com