Maybank IB jangka hasil Favelle Favco susut 9% pada FY22 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB jangka hasil Favelle Favco susut 9% pada FY22

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Nov - Maybank Investment Bank menjangkakan hasil Favelle Favco Bhd. susut 9% tahun ke tahun bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22). 

 

Menurutnya, walaupun ruang bagi segmen minyak dan gas (O&G) mengalami pemulihan dari segi sentimen dan aktiviti yang ketara tetapi menjangkakan kesan yang lebih perlahan terhadap nilai kontrak atau pendapatan Favelle.

 

Katanya, pengurusan kos akan terus menjadi salah satu keutamaannya, di samping nilai kontraknya yang mampan.

 

"Namun, anggaran kami tidak berubah, memandangkan prospek suku keempat yang lebih kukuh sebelum ini berbanding suku ketiga meskipun hasil bagi FY22 dijangka lebih rendah," katanya dalam nota kajian.

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022, Favelle Favco merekodkan keuntungan teras sebanyak RM11 juta, menjadikan keuntungan bersih bagi tempoh sembilan bulan kepada RM25 juta, susut 25% tahun ke tahun. 

 

Ia hanya merangkumi 56% daripada anggaran tahunan penuh Maybank IB dengan kelemahan itu terutamanya disebabkan prestasi operasi pembuatan kren yang lebih perlahan.

 

Ini berikutan aliran kerja lemah dan perbelanjaan operasi (opex) yang lebih tinggi (terjejas oleh peningkatan kos penyelenggaraan dan kos bahan yang lebih tinggi).

 

Tempahan tertangguh pulakberjumlah RM641 juta setakat November 2022, merangkumi 85% daripada pembuatan kren (15% daripada automasi).

 

Ekoran prospeknya yang suram, firma itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Favelle Favco dengan harga sasaran lebih rendah pada RM1.70 daripada RM1.95 sesaham sebelum ini.

 

Maybank IB berkata, selepas membayar dividen khas sebanyak 85sen sesaham, kumpulan kekal dalam hutang bersih sebanyak RM16 juta pada September 2022 (berbanding tunai bersih sebanyak RM204 juta atau 91 sen sesaham pada Mac 2022).

 

"Kedudukan kewangan yang lebih lemah dan kekurangan pemangkin di hadapan menjadikan Favelle Favco sebagai pelaburan yang kurang menarik ketika ini," jelasnya. - DagangNews.com