KUALA LUMPUR 14 Feb - Maybank Asset Management Sdn. Bhd. melancarkan Dana Maybank Global Conservative-I pelbagai aset patuh syariah untuk menawarkan perancangan persaraan yang fleksibel bagi menjamin kestabilan kewangan kepada pelabur.
Dana tersebut diperkenalkan hari ini, menjadikan ia sebahagian daripada Dana Maybank Global Wealth Moderate-I dan Dana Maybank Global Wealth Growth-I yang ditawarkan di bawah Maybank Flexible Retirement Solution yang dilancarkan pada tahun lalu.
Dana itu disasarkan untuk mencapai pengagihan pendapatan sebanyak 7% setahun, di mana baki aset akan terus dilaburkan bagi memperoleh pulangan dan memberi peluang kepada pelabur bagi meningkatkan lagi tabung persaraan.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Asset Management Malaysia, Ahmed Muzni Mohamed menzahirkan kebimbangan terhadap perancangan persaraan di negara ini dan melihat kepentingan memupuk masyarakat menambah persaraan sedia ada seawalnya bagi memastikan persaraan dengan kewangan yang selamat.
“Keistimewaan Maybank Flexible Retirement Solution adalah merangka semula pendekatan tradisional yang berteraskan usia kepada perancangan persaraan dan menjadikannya menarik kepada segmen yang lebih luas dengan menyediakan penyelesaian berasaskan kefahaman dan menyasarkan rakyat Malaysia dalam pelbagai peringkat kehidupan, tempoh masa dan matlamat kewangan.
"Dana kami memberi lebih kefleksibelan dan pilihan kepada rakyat Malaysia untuk mula membuat perancangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, dana tersebut memberi pilihan tahap risiko yang ingin diambil oleh pelanggan sambil menikmati fleksibiliti untuk menentukan hala tuju rancangan persaraan, menepati matlamat dan keperluan hidup masing-masing.
“Dana kami dapat menambah pendapatan pelabur selepas bersara dengan menyediakan pembayaran pendapatan yang lebih tinggi.
"Ini membantu mereka dalam aspek kestabilan pendapatan dan perlindungan simpanan untuk jangka panjang, memberi ketenangan untuk meneruskan kehidupan berkualiti tanpa rasa bimbang terhadap kewangan,” tambahnya.
Schroder Investment Management (Singapore) Ltd merupakan penasihat pelaburan untuk Maybank Flexible Retirement Solution yang mempunyai rekod cemerlang selama 30 tahun dalam pengurusan pelaburan pelbagai aset di peringkat global.
CEO Schroders Singapura, Lily Choh berkata, pihaknya gembira dapat menjadi rakan kongsi Maybank Asset Management untuk menyediakan strategi inovatif bertumpu kepada penyediaan aliran pendapatan yang boleh dipercayai bagi membiayai keperluan semasa dan masa depan.
“Penambahan dana ini kepada barisan Maybank Flexible Retirement Solution sedia ada mencerminkan komitmen utuh kami dalam menyokong perjalanan perancangan persaraan pelabur rakyat Malaysia,” tambahnya. – DagangNews.com








