KUALA LUMPUR 12 Jan - Axiata Group Bhd. melantik Maya Hari sebagai pengarah bukan eksekutif bebas berkuat kuasa mulai 11 Januari 2023.
Maya, 44, kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pemula niaga teknologi iklim Terrascope selain bertanggungjawab dalam lembaga Aviva Singlife Holdings sebagai pengarah bukan eksekutif serta pengerusi jawatankuasa digital dan teknologi.
Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, pengalaman Maya dalam perniagaan pertumbuhan tinggi yang dipacu teknologi, transformasi digital, pengembangan antarabangsa dan kemampanan akan membawa dimensi strategik baharu kepada usaha kumpulan dalam pendigitalan dalam persekitaran budaya kolaboratif dan inklusif.
"Lembaga pengarah mengalu-alukan kehadiran Maya Hari, yang membawa bersama kepelbagaian wawasan global dan komprehensif kepada kumpulan," katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam dekad yang lalu, Maya mengetuai organisasi dengan syarikat teknologi seperti Twitter, Samsung Asia dan Conde Nast India.
Sebelum itu, beliau mengasaskan dan menjadi CEO platform e-dagang berikutan pengalaman yang cukup lama dalam strategi serta pemasaran di Schlumberger, Cisco Systems, Google dan Microsoft Corp sejak 2000.
Selain itu, Maya juga adalah pelabur budiman yang agak dikenali yang sering memberi tumpuan kepada modal teroka peringkat awal dalam bidang teknologi, makanan, pertanian dan sektor berkaitan dalam kelestarian. - DagangNews.com








