MATTA Fair Perak sasar jualan RM23 juta dengan kehadiran 20,000 pengunjung | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MATTA Fair Perak sasar jualan RM23 juta dengan kehadiran 20,000 pengunjung

MATTA Fair Perak dijangka menarik 20,000 pengunjung.
Oleh ZAKI SALLEH 

IPOH 14 Feb - Sebanyak RM23 juta jualan disasarkan pada Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Perak yang bakal diadakan pada 25 Februari ini.

 

Bertempat di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini, pameran selama dua hari itu melibatkan 118 reruai pameran dengan penyertaan 35 pemain industri pelancongan di negara ini.

 

Pengerusi MATTA Cawangan Perak, Chong Yu Ken berkata, edisi penganjuran kali ke-30 itu adalah lebih besar berbanding tahun lalu dengan jangkaan kehadiran 20,000 pengunjung.

 

Menurut beliau, selain Tourism Perak program ini turut disertai Tourism Malaysia, Tourism Melaka, Tourism Pahang dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

 

"Pelbagai pilihan produk pelancongan dibawa berdasarkan minat-minat yang berbeza seperti budaya, warisan, alam semula jadi dan hidupan liar, taman semula jadi, sukan air dan udara.

 

"Kami percaya penganjuran pameran ini akan menjadi penanda aras untuk merancakkan semula industri pelancongan kita," ujarnya dalam satu kenyataan.

 

Penyertaan syarikat dan agensi pelancongan dari luar Perak juga dijangka menjadi tarikan pada pengunjung khususnya yang ingin merancang pelan percutian keluarga.

 

 

matta
White Water Rafting@Selama antara lokasi pelancongan yang semakin mendapat tempat di Perak.

 

 

matta
Pengerusi MATTA Cawangan Perak, Chong Yu Ken (tengah).

 

 

Yu Ken berkata, pengunjung yang menempah pakej percutian juga layak untuk menyertai cabutan bertuah dan memenangi pelbagai hadiah menarik seperti baucar dan tiket penerbangan.

 

"Seperti biasa, pengunjung yang berbelanja sekurang-kurangnya RM300 pada pameran ini layak untuk menyertai cabutan bertuah.

 

"Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman Facebook rasmi MATTA Fair Perak," ujarnya. - DagangNews.com