KUALA LUMPUR 9 Jan - Malaysian Genomics Resource Centre Bhd (MGRC) mengumumkan kerjasama strategik dengan SIRIM Berhad (SIRIM) meneroka pengkomersialan projek penyelidikan dan pembangunan bersama (R&D) dalam bidang perubatan dan bioteknologi.
Di bawah kerjasama strategik itu, kedua-dua pihak akan menilai potensi nilai komersial bagi pelbagai projek R&D bioteknologi yang dipacu genomik.
Ini termasuk membangunkan biofuel dan biofarmaseutikal, ujian diagnostik teman untuk rawatan kanser dan kosmeseutikal bioaktif.
Ketua Pegawai Eksekutif MGRC, Sasha Nordin berkata, SIRIM dan MGRC mempunyai pengalaman, sumber dan aset teknologi pelengkap.
Beliau berkata, pasukan dari kedua-dua organisasi telah bertemu untuk meneroka penyelidikan mereka dan mengembangkan minat dalam perubatan ketepatan, keselamatan makanan dan produk untuk pasaran pengguna.
"Kerjasama strategik ini akan membuka jalan bagi perjanjian individu khusus untuk projek yang mana peluang komersial telah dikenal pasti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad pula berkata, pihaknya berharap dapat bekerjasama rapat dengan MGRC dalam projek R&D yang boleh memberi manfaat kepada negara dan industri domestik.
"Kerjasama strategik ini akan mempercepatkan proses yang berkaitan untuk memastikan kedua-dua pihak dapat meneroka daya maju komersial projek, sebelum memulakan penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan," katanya.
Kerjasama selama dua tahun itu akan bersama-sama mencari rakan institusi swasta dan awam yang sesuai untuk pembiayaan dan pengkomersialan projek-projek ini. - DagangNews.com








