Malaysia ungguli ekonomi dan kewangan Islam 8 tahun berturut-turut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia ungguli ekonomi dan kewangan Islam 8 tahun berturut-turut

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 14 April - Malaysia mengungguli ekonomi dan kewangan Islam selama lapan tahun berturut-turut berdasarkan kedudukan Indikator Ekonomi Islam Global (GIEI).

 

Menurut Timbalan Presiden, Bahagian Perniagaan Digital di Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Gopi Ganesalingam, pengiktirafan global itu membuka laluan untuk Malaysia terus menerajui hab fintech Islam dan ke arah Nadi Digital ASEAN.

 

“Dengan ekosistem ekonomi digital negara yang kukuh dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kita mempunyai kelebihan berbanding negara lain dalam menawarkan kewangan Islam patuh syariah dan perkhidmatan fintech di peringkat global. 

 

Gopi Ganesalingam
Gopi Ganesalingam

 

“Kami sangat berbangga dengan kedudukan negara dan MDEC akan terus bekerjasama dengan pengawal selia kewangan dan rakan industri dari pelbagai bidang berkaitan untuk meningkatkan lagi keupayaan, kemudahan dan kapasiti bagi memastikan negara mengekalkan kedudukan sebagai peneraju (ekonomi Islam),” katanya dalam sebuah penulisan pandangan pengarang oleh MDEC hari ini.

 

Ekonomi Islam telah membuka satu lagi sempadan perdagangan yang dapat dimanfaatkan Malaysia. 

 

MDEC yang memetik Laporan Ekonomi Islam Global (GIER) 2019/20 memberitahu, penduduk Islam dijangka berbelanja sehingga AS$2.4 trilion menjelang 2024, meningkat daripada AS$2.2 trilion pada tahun 2018.

 

Dalam pada itu, ujar MDEC, GIEI juga mendedahkan bahawa seramai 66% pengguna sanggup membayar lebih untuk produk beretika, sementara laporan dari Thomson Reuters mengunjurkan aset patuh syariah di seluruh dunia akan mencecah AS$3.8 trilion pada 2022. 

 

“Selain daripada Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang ditandatangani baru-baru ini, Malaysia berpotensi untuk meraih 30% daripada penduduk dunia. 

 

“Satu sempadan ekonomi baharu telah terbuka untuk Malaysia,” jelas MDEC.

 

Untuk rekod, pasaran modal Islam di dalam negara melonjak sebanyak 8% kepada RM2 trilion, mendahului pertumbuhan pasaran secara keseluruhannya iaitu 3%.

 

Malaysia juga menawarkan platform lengkap untuk syarikat fintech Islam melancarkan tawaran produk mereka sebelum memasuki negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam lain.

 

Ini terbukti apabila Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) membenarkan inovasi dalam fintech untuk memperluas pengembangan tersebut. - DagangNews.com