Malaysia tumpu projek berkualiti tinggi, berintensifkan modal - Mohamed Azmin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia tumpu projek berkualiti tinggi, berintensifkan modal - Mohamed Azmin

 

 


KUALA LUMPUR 23 Dis - Malaysia sedang menumpukan usaha ke arah lebih banyak projek berkualiti tinggi, berintensifkan modal dan projek-projek yang menyokong agenda pembangunan mampan negara, menurut Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

 

Jelasnya, dalam usaha menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama (SPV) 2030 dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12), Malaysia telah mendapatkan pelaburan baharu yang selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Malaysia.

 

“Ini dicerminkan oleh peningkatan dalam jumlah projek berintensif modal yang diluluskan oleh MIDA pada Januari hingga September 2021,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini.

 

Sehubungan itu, beliau berkata, jumlah tenaga kerja sebanyak 2,923 jawatan pengurusan dan 10,207 profesional teknikal seperti jurutera diperlukan dalam bidang elektrik dan elektrikal (E&E), mekanikal, kimia dan bidang-bidang lain.

 

Tambahnya, projek pembuatan yang diluluskan turut memerlukan 7,907 pekerja mahir seperti penyelia penyelenggaraan loji, pembuat alat dan acuan, juru mesin, kakitangan teknologi maklumat (IT), pengawal kualiti, juruelektrik dan pengimpal.

 

"Selain itu, nisbah pelaburan modal setiap pekerja (CIPE) bagi projek diluluskan pada Januari-September 2021 meningkat kepada RM1.73 juta daripada RM1.27 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu," katanya.

 

Projek-projek terkemuka yang diluluskan termasuk peneraju global bagi papan litar bercetak dan substrat litar bersepadu Austria, AT&S yang telah memilih Malaysia untuk kilang pengeluaran pertamanya di rantau ini melalui pelaburan bernilai RM8.5 bilion di Kulim, Kedah.

 

Nexperia Malaysia, anak syarikat milik penuh Nexperia BV (Belanda), antara pemain utama dalam pengeluaran volum tinggi semikonduktor dan komponen penting juga akan mengembangkan operasinya di Negeri Sembilan dengan melabur dalam bangunan, peralatan dan automasi.

 

Taiyo Yuden yang berpangkalan di Jepun turut mengumumkan pelaburan sebanyak RM680 juta untuk pengembangan pengeluaran kapasitor seramik pelbagai lapisan di Kuching, Sarawak bagi memenuhi permintaan pelanggan mereka yang semakin meningkat di rantau ASEAN.

 

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, sektor perkhidmatan menyaksikan pelaburan diluluskan bernilai RM57.8 bilion membabitkan 2,473 projek dan ia dijangka mewujudkan 19,731 pekerjaan.

 

Katanya, pelaburan domestik mendominasi pelaburan yang diluluskan dalam lingkungan sektor berkenaan, menguasai RM46.9 bilion atau 81.1 peratus, manakala selebihnya RM10.9 bilion adalah daripada sumber asing, katanya.

 

"Subsektor hartanah kekal sebagai penyumbang terbesar dengan RM20.1 bilion sementara pertubuhan global, perkhidmatan kewangan, hotel dan pelancongan serta perkhidmatan pengangkutan turut mencatatkan peningkatan dalam tempoh berkenaan.

 

"Paling ketara, pelaburan diluluskan untuk pertubuhan global menyaksikan lonjakan signifikan berbanding tempoh yang sama tahun lepas pada RM9.2 bilion.

 

“Sebanyak 83 projek untuk menjadikan Malaysia sebagai hab operasi serantau atau global mereka telah diluluskan dalam tempoh Januari hingga September 2021," jelasnya.

 

Beliau menambah aktiviti-aktiviti ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk 3,760 pekerja mahir berasaskan pengetahuan atau teknikal tinggi, sekali gus meletakkan Malaysia di landasan integrasi yang lebih baik ke dalam rantaian bekalan global.

 

Menurutnya, sektor utama menyumbang RM16.1 bilion atau 9.1% kepada jumlah pelaburan diluluskan pada Januari hingga September 2021, melonjak 827% daripada tempoh sama tahun lalu.

 

Subsektor perlombongan mendominasi pelaburan diluluskan sebanyak RM16.0 bilion, diikuti perladangan dan komoditi RM84.8 juta serta pertanian RM11.5 juta dengan sejumlah 304 pekerjaan baharu diwujudkan di negara ini.

 

Pelaburan daripada sumber domestik menguasai sebahagian besar daripada kelulusan itu dengan jumlah keseluruhan RM12.6 bilion atau 78.3% manakala pelaburan asing menyumbang RM3.5 bilion atau 21.7%.

 

Melangkah ke tahun 2022, Mohamed Azmin berkata, kerajaan telah menyediakan beberapa misi perdagangan dan pelaburan yang strategik dan tertumpu yang disasarkan untuk mendapatkan pelaburan dalam industri berteknologi tinggi, inovasi dan penyelidikan yang akan melengkapkan ekosistem perindustrian Malaysia.

 

“Ini berdasarkan 523 projek dengan cadangan pelaburan sebanyak RM37.2 bilion dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan yang berada dalam perancangan MIDA setakat 10 Disember 2021," katanya. -DagangNews.com