KUALA LUMPUR 14 Okt - Malaysia memerlukan seramai 500,000 pekerja asing bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam menyokong proses pemulihan negara.
Ahli Majlis Pemulihan Negara (MPN), Datuk Michael Kang berkata, sebanyak 1,152,276 permohonan kuota pekerja asing telah diterima untuk semua sektor sehingga September 2022 dan 467,223 (40.5%) kuota telah diluluskan.
Beliau berkata, MPN memandang serius situasi ekonomi global dan domestik pasca-pandemik COVID-19 dan kesannya ke atas negara dan rakyat.
"Sehingga 12 September 2022, hanya 76,000 pekerja asing telah dibawa masuk ke negara. Difahamkan, bulan ini akan masuk lagi 100,000 hingga 200,000 pekerja asing.
"Kita kekurangan 1 juta (pekerja asing) lagi, sekurang-kurangnya kita bawa masuk 500,000 lagi baru cukup untuk bantu," katanya dalam sidang akhbar di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sentral di sini, hari ini.
Michael berkata, pengusaha PMKS merupakan antara yang paling terjejas akibat pandemik dan isu berkaitan PMKS sering kali dibincangkan di mesyuarat-mesyuarat MPN.
"Antara isu yang selalu dibangkitkan pengusaha PMKS adalah masalah kekurangan tenaga kerja asing dalam pelbagai sektor terutamanya perladangan yang dilaporkan mengalami kerugian hampir RM20 bilion pada tahun 2021," katanya.

Tambahnya, ramai pengusaha PMKS mahu melaksanakan pendigitalan dalam operasi perniagaan mereka, namun tidak mampu untuk melakukan pelaburan ke arah itu.
"Saya berharap kerajaan boleh membantu PMKS memberi geran atau 'pembiayaan istimewa' dalam usaha menggalakkan mereka ke arah pendigitalan untuk perniagaan masing-masing," katanya. - DagangNews.com








