KUALA LUMPUR 27 Julai - Malaysia akan menyaksikan pembinaan kapal bekalan luar pesisir (OSV) hijau yang pertama dalam tempoh 3 tahun lagi yang menelan kos kira-kira AS$25 juta.
Ia akan direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara tiga syarikat utama pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR) tempatan dan sebuah syarikat hijau inovatif dari Singapura.
Projek itu dijangka mengambil masa sekitar 18 hingga 24 bulan untuk disiapkan, bermula dari fasa reka bentuk hingga pembinaan.
Presiden Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM), Soo Jee Main berkata, pendekatan kelestarian kapal OSV ini akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai salah satu pemain utama SBSR global.
Katanya, projek itu akan membuka pintu merentasi pelbagai sektor dan meningkatkan ekonomi Malaysia secara keseluruhan.
"Semua pihak yang terlibat mempunyai peranan yang berbeza tetapi sama penting, membawa kepada
peningkatan pekerjaan, pemindahan teknologi dan pengetahuan serta pengembangan pasaran.
"Projek ini bakal bermula pada 2023 dan akan memperkayakan industri SBSR dan secara tidak langsung, sektor minyak dan gas.
"Melalui peluang ini, syarikat-syarikat SBSR tempatan terbukti mampu membina kapal hijau dan bersedia menerima tempahan sekali gus berupaya menarik lebih banyak pelaburan serta kerjasama asing dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam industri maritim," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Evolution Concepts Pte Ltd (EC), Grade One Marine Shipyard Sdn Bhd (GOMS), Shin Yang Shipyard Sdn Bhd (SYS) dan Muhibbah Marine Engineering Sdn Bhd. (MME).
Majlis disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayob.
Perjanjian MoU ini menyaksikan empat syarikat tersebut bekerjasama dan memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk membina OSV hijau di mana syarikat Malaysia (GOMS, MME dan SYS) akan menyediakan kemudahan limbungan dan pembinaan kapal yang menyeluruh manakala syarikat Singapura (EC) mereka bentuk kapal berkenaan, menggabungkan teknologi hijau.
Ia merupakan perkongsian strategik rasmi untuk membina kapal OSV hijau pertama keluaran negara dan membekalkannya ke pasaran global.
Sementara itu, Pengarah Urusan Evolution Concept, Kelvin Chong berkata, kapal hijau pertama yang dibina di Malaysia ini akan menampilkan Sistem Bateri Biru G (Blue G Battery System) yang mampu meminimumkan penggunaan set penjana.
"Seiring dengan kemajuan teknologi kelak, pasti ada penyelesaian yang lebih lestari untuk penjana utama melengkapkan sistem bateri.
"Kapasiti Sistem Bateri Biru G boleh dikira berdasarkan jumlah keperluan kuasa kapal dan akan dapat
dioptimumkan berdasarkan keperluan operasi," katanya.
Sistem Bateri Biru G boleh dicas semula oleh set penjana di atas kapal atau melalui sumber janaan lestari di darat.
Dengan teknologi ini, kapal tersebut mampu menjimatkan pengunaan bahan api dan mengurangkan jejak karbon, perbelanjaan operasi (opex) dan kos kitaran hayat kapal. - DagangNews.com








