Malacca Securities hentikan liputan ke atas saham Suria Capital berikutan pengagihan semula sumber dalaman | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malacca Securities hentikan liputan ke atas saham Suria Capital berikutan pengagihan semula sumber dalaman

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Malacca Securities menghentikan liputan ke atas saham Suria Capital Holdings Bhd akibat pengagihan semula sumber dalaman, di mana saranan terakhirnya adalah ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) RM1.20 sesaaham.

 

Mengulas mengenai prospek kumpulan tersebut, firma penyelidikan itu berkata prospek jangka panjang Suria Capital dijangka disokong oleh (i) rancangan memperbesarkan pelabuhan yang berterusan, (ii) peningkatan ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa, (iii) permulaan fasa kedua projek Jesselton Quay.

 

“Kami menganggap bahawa jumlah kargo dan tan yang dikendalikan, serta kontena unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) akan terus disokong oleh peningkatan beransur-ansur dalam aktiviti ekonomi.

 

“Kami percaya bahawa operasi pelabuhan, khususnya Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP) akan memanfaatkan pemindahan kilang pembuatan syarikat multinasional dari China ke Asia Tenggara akibat lencongan perdagangan Amerika Syarikat-China.

 

“Ini adalah sejajar dengan objektif Suria Capital dalam transformasi menjadi hab pemindahan kapal utama bagi rantau ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Namun, kata firma itu, cabaran masih kekal, berikutan paras inventori minyak sawit Malaysia yang meningkat bagi bulan ketiga berturut-turut pada Julai 2023 sebanyak 0.7% kepada 1.7 juta tan seperti yang dilaporkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

 

Oleh itu, ia menjangkakan segmen operasi pelabuhan yang banyak bergantung kepada produk minyak sawit kekal mendatar.

 

Sementara itu, Malacca Securities berkata Suria Capital kini telah memulakan rundingan dengan kerajaan negeri Sabah untuk melanjutkan konsesi selama 30 tahun lagi dari 1 September 2034 hingga 31 Ogos 2064.

 

Katanya, ini akan mengukuhkan lagi prospek pendapatan jangka panjang kumpulan, manakala prospek semakan tarif pelabuhan tertunggak akan satu lagi pengubah permainan yang positif untuk kumpulan.

 

“Walaupun begitu, kami menghentikan liputan terhadap Suria Capital kerana pengagihan semula sumber dalaman,” katanya.

 

Setakat 10:20 pagi ini, saham Suria Capital susut 1 sen atau 0.7% kepada RM1.45 dengan permodalan pasaran berjumlah RM501 juta. - DagangNews.com