KUALA LUMPUR 9 Julai – Magma Group Berhad berjaya melengkapkan penebusan saham keutamaan boleh tebus tidak boleh tukar (RPS) yang bernilai RM47.71 juta, menurut kenyataan kumpulan berkenaan.
Katanya, ia dilaksanakan menerusi mekanisme penyelesaian secara pertukaran saham, dan mengukuhkan struktur modal syarikat selain meningkatkan fleksibiliti kewangan bagi menyokong pelan pertumbuhan.
Kumpulan tersebut berkata, pelaksanaan penebusan berkenaan dapat selesai dimuktamadkan selepas penyenaraian sebanyak 166.42 juta saham biasa baharu di Pasaran Utama Bursa Malaysia baru-baru ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Thomas Liang Chee Fong, penyelesaian penebusan RPS itu merupakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kedudukan kewangan syarikat tersebut.
"Mekanisme ini membolehkan Magma melangsaikan obligasi sedia ada secara berhemat tanpa menjejaskan aliran tunai, dan mengekalkan fleksibiliti kewangan bagi menyokong fasa pertumbuhan," kata beliau.
Ujarnya, langkah tersebut dilaksanakan pada masa yang tepat ketika kumpulan terus memacu beberapa inisiatif strategik termasuk usaha pembangunan Wolo Hotel & Residences dan Wolo Mont Kiara KL.
Modal Saham Terbitan Dan Berbayar Meningkat
Di samping itu tambah Chee Fong, kumpulan berkenaan turut memperkukuh kedudukannya dalam sektor hospitaliti dan pembangunan hartanah, serta meningkatkan keupayaan memanfaatkan peluang perniagaan.
Langkah ini jelasnya, mencerminkan pendekatan berdisiplin Magma dalam pengagihan modal serta komitmen kami untuk terus mencipta nilai mampan kepada para pemegang saham dalam jangka panjang.
"Keseluruhan penebusan RPS diselesaikan melalui penerbitan 166.42 juta saham biasa baharu kepada Skyload Express Sdn Bhd, selaku pemegang RPS, pada harga terbitan 28.67 sen sesaham," katanya.
Susulan pelaksanaan itu tambah Chee Fong, modal saham terbitan dan berbayar syarikat berkenaan meningkat kepada sebanyak RM360.66 juta yang terdiri daripada kira-kira 1.93 bilion saham biasa.
Pada masa sama ujarnya, penebusan tersebut turut menghapuskan obligasi pembayaran dividen masa hadapan Magma sendiri yang sebelum ini terikat kepada RPS dengan kadar dividen tetap 4% setahun.
Langkah itu dijangka memberikan banyak ruang untuk mengurus modal kerja dan sumber kewangan secara lebih cekap, sekali gus menyokong pelaksanaan projek-projek pembangunan yang sedang dirancang.
Ia berpandangan, pengukuhan struktur modal menerusi penyelesaian RPS itu memperkasakan kedudukan kewangan bagi menyokong pertumbuhan segmen hospitaliti, pembangunan hartanah dan gaya hidup. - DagangNews.com








