BNM kekalkan OPR 2.75%, yakin ekonomi Malaysia mampu berkembang hingga 5% pada 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM kekalkan OPR 2.75%, yakin ekonomi Malaysia mampu berkembang hingga 5% pada 2026

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 9 Julai – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75%, yang mencerminkan keyakinan ekonomi negara berdaya tahan.

 

Menurut kenyataan bank pusat tersebut, unjuran pertumbuhan ekonomi diunjur kekal antara 4% hingga 5% pada 2026 meskipun berdepan ketidaktentuan konflik di Timur Tengah dan risiko ekonomi global.

 

Ujarnya, jawatankuasa berkenaan dalam mesyuaratnya itu berpendirian pada paras OPR semasa kekal sesuai untuk menyokong kestabilan harga serta pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

 

"Petunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan ekonomi global masih berdaya tahan, didorong pengembangan teknologi yang kukuh serta keadaan bekalan dan harga komoditi utama yang semakin baik," tambahnya.

 

Konflik di Timur Tengah yang semakin reda jelasnya, dijangka memulihkan rantaian bekalan global, namun risiko pertumbuhan global lebih perlahan masih wujud berikutan ketidaktentuan geopolitik.

 

Bagi Malaysia kata BNM, perkembangan ekonomi pada suku kedua 2026 menunjukkan pertumbuhan kekal kukuh, disokong permintaan domestik mampan serta prestasi eksport yang mengatasi jangkaan.

 

pelabuhan_DagangNews2026
Gambar hiasan

 

Pasaran buruh, pertumbuhan gaji dan pelaksanaan pelbagai langkah kerajaan akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah, manakala aktiviti pelaburan dipacu pelaksanaan projek swasta dan awam.

 

"Selain itu, sektor luar dijangka berkembang hasil prospek ekonomi global dan permintaan kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), serta peningkatan perbelanjaan pelancong," katanya.

 

Justeru, BNM mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2026, namun mengingatkan prospek itu masih bergantung kepada perkembangan di Timur Tengah dan prestasi pengeluaran komoditi.

 

Ia turut memaklumkan inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatat purata 1.7% dan 2.1% dalam tempoh lima bulan pertama, selaras jangkaan walaupun tekanan kos global memberi kesan.

 

Katanya, harga komoditi global yang kekal tinggi akibat perkembangan geopolitik dijangka memberi tekanan menaik kepada inflasi, tetapi impaknya terhadap paras inflasi dijangka kekal terkawal.

 

"Penilaian ini berikutan langkah dasar domestik serta keadaan permintaan yang stabil. MPC akan terus memantau perkembangan ekonomi dan kewangan semasa serta menilai imbangan risiko," jelasnya.

 

Antaranya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan negara bagi memastikan pendirian dasar monetari kekal sesuai dalam menyokong kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang mampan. - DagangNews.com