KUALA LUMPUR 3 Jan - Mah Sing Group Bhd optimis mengenai prospek sektor hartanah pada 2023 berikutan permintaan yang kukuh untuk pelancaran hartanah siri M baru-baru ini yang membolehkannya mencapai jualan RM1.69 bilion setakat 30 Sept 2022.
Kumpulan itu dijangka mencapai sasaran jualan 2022 sebanyak RM2 bilion dan telah menetapkan sasaran jualan bagi 2023 pada minimum RM2.2 bilion.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, kumpulan akan terus meninjau dan membeli tanah baharu, disokong oleh keyakinan syarikat terhadap siri M rumah mampu milik, dan disokong oleh lembaran imbangan yang baik.
“Selepas 2023, prospek jangka sederhana hingga jangka panjang kekal positif, disokong oleh permintaan asas yang kukuh untuk hartanah berikutan demografi muda. Permintaan terhadap rumah daripada pembeli kali pertama terus kekal mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Leong berkata, dengan lembaran imbangan yang kukuh dan kecairan yang baik, kumpulan sentiasa mencari tanah yang sesuai untuk mengukuhkan lagi portfolio projek siri M yang mencatatkan kadar pembelian yang amat baik.
Katanya, permintaan yang berdaya tahan didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan keadaan pekerjaan yang baik, menyatakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berkembang antara 6.5% dan 7.0% pada 2022 dan 4.0-5.0% pada 2023.
Pembukaan semula sempadan negara pada 1 April 2022 turut membantu meningkatkan sentimen pembelian hartanah selain keadaan pekerjaan yang stabil dengan kadar pengangguran pada paras 3.7% yang sihat, lapor Bernama.
“Walaupun BNM menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 100 mata asas setakat ini kepada 2.75%, kadar semasa masih lebih rendah berbanding julat OPR sebelum pandemik 3.0-3.25%.
“Ramai percaya bahawa hartanah adalah lindung nilai yang baik terhadap inflasi, dan dengan berita terkini mengenai jangkaan kenaikan harga rumah berikutan kenaikan kos pembinaan dan kesan inflasi, ramai pembeli rumah memilih untuk membuat pembelian mereka sekarang,” katanya. - DagangNews.com








