Lotte Chemical Titan rugi RM145.92 juta pada suku kedua dipengaruhi pelbagai faktor luaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lotte Chemical Titan rugi RM145.92 juta pada suku kedua dipengaruhi pelbagai faktor luaran

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Julai - Lotte Chemical Titan Holding Bhd. (LCT) merekodkan kerugian bersih sebanyak RM145.92 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding keuntungan bersih RM382.29 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun kewangan 2021. 

 

Kerugian itu disebabkan kos bahan mentah naptha yang lebih tinggi meningkat 64% tahun ke tahun pada suku berkenaan dan harga produk LCT yang menurun dalam pasaran disebabkan penurunan nilai inventori sebanyak RM96.5 juta kepada nilai boleh direalisasi bersih, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Ia turut dipengaruhi masalah kekurangan buruh dalam industri fabrikasi plastik yang menjejaskan permintaan bagi produk petrokimia, impak sekatan pergerakan di China bagi mengekang COVID-19 dan bahagian keuntungan yang merosot daripada syarikat bersekutunya, Lotte Chemical USA Corp disebabkan kenaikan kos etana.

 

Bagaimanapun, pendapatan anak syarikat Lotte Chemical Corporation di bawah Lotte Group ini meningkat 11% kepada RM2.82 bilion pada suku berkenaan daripada RM2.54 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya didorong peningkatan dua produk utama kumpulan iaitu olefin dan derivatif serta poliolefin, masing-masing meningkat 29% dan 6%.

 

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2022, pendapatan kumpulan meningkat 14% kepada RM5.58 bilion daripada RM4.91 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan produk olefin dan derivatif dan poliolefin masing-masing meningkat 31% dan 9%. 

 

Kumpulan merekodkan kerugian selepas cukai sebanyak RM46.5 juta bagi tempoh tersebut, terutamanya terjejas akibat kos bahan mentah yang lebih tinggi dan pelbagai faktor luaran.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif LCT, Park Hyun Chul berkata, landskap persekitaran perniagaan yang mencabar dan ketidaktentuan akibat pandemik telah menjejaskan prestasi kewangan kumpulan. 

 

"Dengan ini, LCT melaksanakan pengoptimuman operasi dan perniagaan dengan teliti selaras permintaan pelanggan, menghasilkan kadar penggunaan keseluruhan loji yang lebih rendah sebanyak 81%.

 

"Operasi kami dapat disesuaikan dengan pantas sejajar pergerakan pasaran untuk memastikan kumpulan terus berada di landasan untuk menjadi syarikat petrokimia peringkat teratas di Asia Tenggara," katanya. - DagangNews.com