Loji peleburan aloi OM Holdings catat peningkatan pada suku kedua | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Loji peleburan aloi OM Holdings catat peningkatan pada suku kedua

KUALA LUMPUR 27 Julai - Loji peleburan feroaloi OM Holdings Bhd. di Taman Perindustrian Samalaju, Sarawak merekodkan volum pengeluaran yang lebih tinggi untuk ferrosilikon, aloi mangan dan bijih sinter mangan pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding suku pertama berakhir 31 Mac 2022.

 

Pada suku berkenaan, loji itu mengeluarkan 35,004 tan ferosilikon diikuti 60,767 tan aloi mangan dan 30,446 tan bijih sinter mangan, yang masing-masing menyaksikan peningkatan 3.2%, 0.4% dan 18.7% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif OM Holdings, Low Ngee Tong berkata, kerja-kerja penyelenggaraan berjadual utama di operasi Malaysia telah dimulakan pada Jun 2022, bermula dengan relau aloi mangan diikuti relau ferrosilikon.

 

Katanya, relau yang dijadualkan untuk penyelenggaraan besar akan ditutup secara berperingkat untuk meminimumkan gangguan kepada operasi yang sedang berjalan.

 

"Memandangkan kerja-kerja semasa berjalan mengikut rancangan, panduan pengeluaran peleburan kami untuk tahun ini kekal tidak berubah," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dari segi volum jualan, loji itu menyaksikan peningkatan sebanyak 23% untuk ferrosilikon kepada 37,779 tan metrik pada suku kedua 2022 disebabkan terutamanya oleh penghantaran tertunda pada akhir Mac 2022 yang dibawa ke suku dalam tinjauan.

 

Jumlah jualan bagi aloi mangan, bagaimanapun, merosot 9.5% kepada 52,172 tan metrik pada suku kedua 2022 daripada suku sebelumnya.

 

Sementara itu, syarikat telah berjaya mengubah suai dan menukar dua daripada empat relau ferrosilikon terbiarnya untuk menghasilkan aloi mangan.

 

Pentauliahan panas dan ujian prestasi untuk kedua-dua relau dimulakan masing-masing pada 27 Jun dan 25 Julai, dengan pengeluaran kini meningkat.

 

Selepas pengeluaran komersial penuh relau ditukar, operasi peleburan Sarawak akan mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 333,000 hingga 400,000 tan aloi mangan.

 

Loji itu juga mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan kira-kira 120,000 hingga 126,000 tan metrik untuk ferrosilikon dan 250,000 tan untuk bijih sinter. - DagangNews.com