Lebih 2,000 pengunjung jalani pemeriksaan kesihatan, konsultasi percuma di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih 2,000 pengunjung jalani pemeriksaan kesihatan, konsultasi percuma di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu

Orang ramai melakukan pemeriksaan kesihatan di gerai pameran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu. - Gambar BERNAMA

KUALA NERUS 4 Jun - Pemeriksaan saringan kesihatan dan konsultasi secara percuma antara tarikan pengunjung ke reruai Kementerian Kesihatan (KKM) pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Terengganu yang bermula Khamis lepas dan berakhir hari ini.

 

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata, sepanjang tempoh dua hari, jumlah pengunjung yang direkodkan hadir ke reruai KKM ialah seramai 2,321 orang.

 

"Seramai 206 petugas ada membantu pengunjung di sekitar reruai utama, kaunter Sihat Keluarga Malaysia, van pergigian kawasan pameran dan tempat pemeriksaan kesihatan.

 

"Saya berharap lebih ramai yang akan hadir ke reruai KKM untuk mendapatkan pelbagai informasi berkaitan pendidikan kesihatan serta perkhidmatan lain yang ditawarkan kementerian," katanya kepada Bernama hari ini.

 

Antara program yang diadakan di reruai itu ialah penerangan mengenai skim peduli kesihatan untuk kumpulan B40, panduan lima minit resipi, slot mengenali ubat, wellness kick start dan cabaran membanteras kuman. 

 

Sementara itu, beberapa pengunjung yang ditemui Bernama pula teruja dapat bertemu secara bersemuka dengan pegawai dan kakitangan perubatan tanpa perlu membuat temu janji seperti prosedur biasa di hospital atau klinik KKM.

 

Pesara kerajaan, Aminah Awang, 67, berkata, dia datang ke reruai itu bersama suami dan dua anaknya untuk membuat pemeriksaan tekanan darah, kesihatan fizikal dan mental.

 

"Sempat juga tanya perkembangan terkini berkaitan COVID-19 dan mereka juga nasihatkan agar warga emas seperti saya teruskan sahaja berhati-hati untuk elak risiko jangkitan," katanya. - DagangNews.com