Lebih 2 juta peminjam bayar balik pinjaman PTPTN dengan kutipan RM17.8 bilion - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih 2 juta peminjam bayar balik pinjaman PTPTN dengan kutipan RM17.8 bilion - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Julai -  Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lebih 2 juta atau 82.04% peminjam telah membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan jumlah kutipan sebanyak RM17.8 bilion, sehingga Jun 2022.

 

Ismail Sabri berkata, tindakan membayar balik pinjaman pendidikan amat mustahak bagi menjamin kesinambungan dana kepada pelajar-pelajar baharu yang juga waris masa hadapan negara.

 

Beliau berkata, seramai 3.67 juta Keluarga Malaysia telah dibantu bagi meneruskan pengajian dengan keseluruhan pinjaman berjumlah RM66.87 bilion sehingga kini.

 

"Saya percaya, ramai yang telah menamatkan pengajian memperolehi pekerjaan yang baik dan secara langsung menaikkan taraf kehidupan mereka, sekali gus menjadi aset ataupun modal insan penting kepada negara.

 

"Terima kasih saya ucapkan kepada para peminjam yang komited membuat bayaran balik. Bagi yang belum berbuat demikian, saya menasihatkan supaya melunaskan pinjaman agar proses pinjaman kepada peminjam lain seterusnya tidak tertangguh," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade, di sini hari ini.

 

Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada PTPTN kerana berjaya melancarkan aplikasi di telefon pintar yang dikenali sebagai my-PTPTN pada 29 Mac 2022.

 

Beliau berkata, melalui my-PTPTN, pelanggan dapat menyemak penyata membayar balik pinjaman dan bayaran menerusi debit, membuka akaun dan membuat permohonan potongan gaji serta Skim Simpanan Pendidikan Nasional atau Simpan SSPN pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja dengan mudah, cepat dan selamat.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Saya dimaklumkan seramai 176,140 pengguna telah mendaftar aplikasi tersebut sehingga 30 Jun lepas," katanya.

 

Menurutnya, kerajaan melalui PTPTN telah menyediakan peruntukan lebih RM3 bilion setahun bagi membiayai pinjaman pendidikan kepada purata lebih 180,000 pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

 

"Bagaimanapun, timbul pula kebimbangan tentang kebergantungan rakyat terhadap pinjaman yang menyebabkan graduan masa hadapan terikat dengan bayaran balik pinjaman pendidikan setelah menamatkan pengajian.

 

"Justeru, kerajaan mewujudkan inisiatif Simpan SSPN sejak 2004 bagi memastikan Keluarga Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman semata-mata dan tidak terbeban di kemudian hari," katanya.

 

Beliau berkata, perkhidmatan Simpan SSPN telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan keseluruhan deposit simpanan berjumlah RM12.5 bilion dengan bilangan akaun sebanyak 5.4 juta sehingga akhir bulan lepas.

 

"Syabas juga kepada Keluarga Malaysia kerana memilih untuk menjadi pendeposit Simpan SSPN. Saya percaya, Simpan SSPN akan terus membantu golongan yang memerlukan, di samping membudayakan amalan menabung," katanya.

 

Katanya, pelancaran Kelab Simpanan Pendidikan pula adalah untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan kanak-kanak dan memupuk kesedaran pentingnya menabung demi masa depan melalui Simpan SSPN.

 

Tambah beliau, Kelab Simpanan Pendidikan akan beroperasi di bawah aktiviti kokurikulum kelab dan persatuan sekolah, yang boleh dipilih murid untuk menyertainya dan kegiatannya tertakluk kepada Peraturan-peraturan Pendidikan (Persatuan Sekolah) 1998 di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

 

"Difahamkan, terdapat 13 buah sekolah di lima buah negeri telah berdaftar untuk menjadikan Kelab Simpanan Pendidikan ini sebagai salah satu kelab atau persatuan dalam modul kokurikulum sekolah," katanya. - DagangNews.com