KUALA LUMPUR 27 Julai - MSM Malaysia Holdings Berhad komited untuk memastikan semua petugas termasuk kontraktor menerima vaksin sepenuhnya, sejajar dengan saranan kerajaan dalam mempertingkatkan kadar imunisasi ke arah mencapai imuniti kelompok bagi menangani penularan wabak COVID-19.
Buat masa ini, program vaksinasi MSM akan bermula dengan melibatkan 200 petugas di Lembah Klang, meliputi tenaga kerja rantaian bekalan di Sungai Buloh serta ibu pejabat korporat di Kuala Lumpur.
Semua petugas telah dijadualkan untuk menerima dos vaksinasi pada hari ini bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) melalui Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
Pada masa sama, pengeluar gula bertapis terkemuka jenama ikonik Gula Prai itu akan terus memperkasakan usaha bagi mendapatkan temu janji vaksinasi bagi para petugas di kilang-kilang yang terletak di Prai, Pulau Pinang dan Tanjung Langsat, Johor melibatkan hampir 800 orang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, sebagai salah satu pembekal makanan asas negara, kesihatan dan keselamatan para petugas adalah menjadi keutamaan khususnya dalam pandemik ini, memandangkan kumpulan kekal beroperasi seperti biasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
"Secara signifikan, sebagai majikan yang bertanggungjawab, kita memainkan peranan yang penting
dalam membantu kerajaan untuk menghebahkan serta menggalakkan vaksinasi di samping memastikan perniagaan dan operasi terus berjalan dengan mematuhi SOP yang telah digariskan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MSM telah merangka strategi-strategi pencegahan dan mitigasi COVID-19 yang menyeluruh
dalam menilai bahaya dan risiko keterdedahan dalam kalangan petugas, disusuli protokol keselamatan dan tatakerja sewajarnya bagi melindungi para petugas serta memastikan persekitaran tempat kerja yang sihat.
Langkah-langkah proaktif ini termasuk ujian saringan secara meluas dan waktu rehat berperingkat di premis operasi, penyahjangkitan dan sanitasi harian, deklarasi tahap kesihatan individu, pengurangan kepadatan di tempat kerja, penjejakan kontak dan ujian SWAB mandatori bagi petugas-petugas dan pekerja kontrak baharu. - DagangNews.com








