Lalaland Cafe, restoran kontena umpama dalam taman fantasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lalaland Cafe, restoran kontena umpama dalam taman fantasi

Kafe ini boleh memuatkan sehingga 200 pelanggan termasuk di ruang terbuka.
Oleh ZAKI SALLEH 

IPOH 14 Feb - Lalaland Cafe berkonsepkan restoran kontena terbuka menjadi tarikan baharu pada penggemar gastronomi di bandar raya ini sekali gus mencetak nama sebagai lokasi wajib kunjung.

 

Terletak di Jalan Lasam di sini, kafe kontena ini nyata berlainan apabila menimbulkan suasana ceria pada warna-warni premis.

 

Keindahan lebih dirasai pada waktu malam dengan limpahan cahaya seolah-olah berada dalam taman fantasi.

 

Lalaland Cafe disiapkan dalam tempoh tiga bulan dengan mengambil kira konsep restoran seperti di Amerika Syarikat.

 

Pemilik kafe, Chong Jin Wu berkata, idea untuk menceburi perniagaan ini timbul semasa tempoh pandemik apabila memikirkan sebuah cafe yang berbeza.

 

"Setelah dipersetujui rakan kongsi, kami memutuskan memilih lokasi di sini kerana kedudukannya yang strategik.

 

"Ketika ini Lalaland Cafe menyajikan masakan berasaskan ayam dan makanan barat lain," ujarnya.

 

 

kafe
Warna-warni ceria dan limpahan cahaya menjadikan Lalaland Cafe berbeza daripada kafe-kafe sedia ada di Ipoh.

 

 

Menurut Jin Wu, beliau dan rakan kongsi membelanjakan kira-kira RM800,000 bagi membuka kafe tersebut.

 

Kafe ini boleh memuatkan sehingga 200 pelanggan termasuk di ruang terbuka yang membolehkan pengunjung melihat pemandangan sekeliling.

 

 

kafe
Pemilik cafe, Chong Jin Wu (dua dari kanan) bersama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin (tiga dari kanan) semasa merasmikan pembukaan Lalaland Cafe pada 13 Februari 2023.

 

 

"Untuk masakan kepak dan jejari ayam, kita menggunakan resepi sendiri manakala bekalan mentah diperolehi daripada pembekal tempatan.

 

"Kafe ini sesuai untuk semua peringkat usia dan semestinya mereka yang datang bersama keluarga dan anak-anak," ujarnya. - DagangNews.com