Kyndryl dedah 8 trend teknologi paling berpengaruh pada 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kyndryl dedah 8 trend teknologi paling berpengaruh pada 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Jan - Penyedia perkhidmatan infrastruktur IT terbesar di dunia, Kyndryl mendedahkan trend paling berpengaruh yang akan memberi kesan kepada pembuatan keputusan IT pada 2023 dan seterusnya. 

 

Tatkala teknologi terus berkembang dan masalah perniagaan yang kompleks terus muncul, para profesional IT akan menghadapi cabaran baharu pada tahun akan datang. 

 

Beberapa perubahan akan memacukan inovasi, manakala ada yang akan merangsang perdebatan mengenai etika kecerdasan buatan (AI).

 

Yang lain, seperti ancaman siber, akan memaksa syarikat-syarikat untuk mengurangkan dan menghadapi risiko-risiko tersebut dengan sepenuhnya.


 
Kyndryl bekerjasama bersama syarikat-syarikat di Asia Tenggara dan di seluruh dunia untuk membantu mereka menangani objektif perniagaan mereka yang paling mendesak menggunakan cara-cara moden. 

 

Pengarah Urusan Kyndryl Malaysia, Joey Mak berkongsi lapan trend teknologi yang patut diketahui oleh setiap pemimpin perniagaan;

 

 

kyndryl
                                      Joey Mak

 

 

1. Daya tahan siber akan mengatasi keselamatan siber sebagai kebimbangan utama keselamatan

 

Dengan 88% lembaga-lembaga syarikat kini melihat keselamatan siber lebih sebagai sebuah risiko perniagaan daripada risiko teknologi, menurut sebuah tinjauan Gartner, daya tahan siber bukan lagi hanya akan menjadi masalah bagi Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat pada tahun 2023.

 

Ia lebih berkemungkinan besar bahawa setiap peringkat suite eksekutif organisasi akan menjadi sebahagian daripada perbualan dan penyelesaian masalah tersebut.


 
Ia bukan sahaja sebuah perbincangan IT. Syarikat-syarikat perlu memahami bahawa mereka lebih berkemungkinan mengalami peristiwa siber daripada bencana fizikal, dan mereka mesti melindungi semua aspek perniagaan mereka.

 

Ia boleh mendorong kepada pembentukan kerja keselamatan paling hangat pada tahun depan: Pegawai Daya Tahan Siber.

 

2. Etika AI akan menjadi mustahak

 

Penyelesaian AI yang bertanggungjawab, bidang yang menangani amanah, risiko, etika, keselamatan dan ketelusan — akan lebih dikenali arus perdana.

 

Kita akan melihat penyelesaian yang menyasarkan cerapan diperibadikan, sama ada ia berkaitan dengan aspek seperti risiko kredit, pengunderaitan atau enjin pengesyoran untuk penetapan harga dinamik atau untuk mempengaruhi keputusan pembelian.


 
Begitu juga dengan kebolehmerhatian data, yang mana ia akan menjadi penting dan kunci kepada penskalaan AI untuk perniagaan. Tanpa asas data dan DataOps yang teguh dan selamat, ia akan menjadi sukar untuk menskala dan mendemokrasikan penggunaan data.


 
3. Awan akan memacu inovasi

 

Syarikat-syarikat yang telah menerima pakai awan sebelum pandemik COVID-19 lebih bernasib baik daripada syarikat yang tidak berkesempatan berbuat sedemikian, terutamanya dalam aspek keupayaan untuk menukar model perniagaan mereka dan memanfaatkan peluang baharu serta aliran hasil.

 

Para pakar berkata bahawa perkara yang sama akan berlaku sekira berlakunya kegawatan ekonomi. Penerima pakai awan menyediakan laluan terpantas kepada inovasi dan memberikan syarikat-syarikat lebih fleksibiliti untuk menjalankan perniagaan mereka dalam masa sukar.

 

4. Syarikat-syarikat akan menerima pakai awan yang diedarkan

 

Kami menjangkakan syarikat-syarikat akan semakin menerima pakai awan yang diedarkan sambil mereka menerima pakai model bersekutu antara awan dan pengkomputeran tepi.

 

Terdapat banyak kelebihan pada model yang diedarkan, termasuk keupayaan untuk membayangkan data dengan lebih baik dan memanfaatkan data merentas sebuah organisasi untuk memacu nilai dan membolehkan keupayaan Web3 baharu.

 

Dalam sebuah persekitaran awan yang diedarkan, beban kerja akan diselaraskan dengan lokasi sumber tertentu untuk memenuhi keperluan pematuhan dan keperluan prestasi atau menyokong pengkomputeran tepi, sambil diuruskan secara berpusat oleh pembekal awan awam.

 

5. Rangkaian awan akan berkembang

 

Tatkala lebih banyak perusahaan-perusahaan mengalihkan beban kerja dan perniagaan ke awan, mereka akan menggunakan cara penyambungan kepada awan yang berbeza daripada yang dibina secara tradisional pada masa lalu.

 

Kita telah melihat peningkatan dalam penyedia perkhidmatan yang memayakan infrastruktur rangkaian dan menyediakannya sebagai sebuah perkhidmatan kepada perusahaan.

 

Namun, kebanyakan syarikat yang berkenaan tidak mempunyai saluran terus-kepada-perusahaan yang baik. Pada masa hadapan, permintaan untuk menyepadukan ketersambungan dengan perkhidmatan terurus akan meningkat dan membantu perusahaan-perusahaan menguruskan rangkaian berbilang.

 

6. 5G tanpa wayar persendirian akan melangkaui industri 4.0

 

Walaupun industri pembuatan, petrokimia, gas dan tenaga telah berjaya menggunakan penyelesaian tanpa wayar persendirian dan pengkomputeran tepi untuk memacu kecekapan perniagaan dan penjimatan kos, segmen lain seperti peruncitan telah ketinggalan.


 
Tanpa persoalan, tahun 2023 akan menjadi sebuah tahun di mana kes dan ujian penggunaan 5G tanpa wayar persendirian akan berlaku dalam industri lain, dengan industri peruncitan menerajui perjalanan ini.

 

Daripada mendayakan pembayaran tanpa juruwang, analisis masa nyata, promosi diperibadikan, penjejakan aset dan pengoptimuman rantaian bekalan, tanpa wayar persendirian dan pengkomputeran tepi akan menjadi kunci untuk pengalaman beli-belah dan pengalaman pelanggan (CX) generasi seterusnya.

 

7. Pengalaman pekerja digital yang diperibadikan harus disediakan untuk kerja hibrid

 

Tempat kerja digital telah berubah menjadi sebuah persekitaran di mana para pekerja dapat memilih saluran yang mereka mahu gunakan untuk melibatkan diri merentas organisasi.

 

Cabaran yang dihadapi oleh kebanyakan organisasi adalah untuk memastikan kelancaran persekitaran baharu tersebut, memberikan pengalaman yang hebat untuk para pekerja dan pada masa yang sama, meningkatkan kerjasama serta budaya organisasi.

 

Pada tahun 2023, pengalaman digital akan mengambil tempat teratas dalam senarai semak perekrutan dan juga akan memberi kesan kepada pengekalan kakitangan.

 

8. Kerangka utama akan mengukuhkan peranannya dalam strategi awan hibrid

 

Perusahaan-perusahaan akan mempercepatkan pemodenan kerangka utama untuk penyepaduan yang lebih lengkap ke dalam persekitaran awan hibrid.

 

Berhadapan dengan bajet IT yang dikurangkan dan kekangan kemahiran, syarikat-syarikat akan mengambil sebuah pendekatan menyeluruh untuk memanfaatkan platform mereka dengan sepenuhnya melalui pemodenan, penyepaduan dengan ‘hyperscaler’ atau mengalihkan beban kerja daripada kerangka utama, berbanding hanya menggunakan sebuah pendekatan tunggal.

 

Mereka juga akan memanfaatkan keupayaan integrasi platform awan yang berkembang untuk mengakses data dan aplikasi kerangka utama untuk menangani keperluan perniagaan baharu dengan penukaran masa ke nilai yang lebih pantas. - DagangNews.com