KWSP tidak lagi menjadi pemegang saham utama Affin Bank, buka laluan kepada Kerajaan Sarawak | DagangNews Skip to main content

KWSP tidak lagi menjadi pemegang saham utama Affin Bank, buka laluan kepada Kerajaan Sarawak

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 18 April - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak lagi menjadi pemegang saham besar Affin Bank Bhd selepas melupuskan tiga juta saham dalam kumpulan perbankan itu.

 

Pelupusan saham Affin Bank oleh KWSP berlaku pada 12 April, menurut makluman di Bursa Malaysia.

 

Namun, makluman itu tidak menyatakan nilai urus niaga itu, dan juga tidak menyatakan baki jumlah saham yang dipegang oleh KWSP.

 

Saham Affin Bank ditutup pada RM2.54 pada 12 April.

 

 

Menurut laporan tahunan Affin Bank bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 (FY2023), KWSP memegang sejumlah 121.91 juta saham dalam bank itu, bersamaan dengan 5.195% kepentingan, pada 29 Feb.

 

Sebelum ini, KWSP telah mengurangkan pegangannya dalam Affin Bank dari Januari hingga akhir Februari, menjual sejumlah 16.46 juta saham dalam tempoh tersebut.

 

 

iktisad

 

 

Kerajaan Sarawak kini sedang berbincang untuk meningkatkan pegangannya dalam Affin Bank melalui cabang pelaburannya, yang boleh menyaksikan ia meningkatkan kepentingannya kepada 30% daripada 4.8% semasa.

 

Pada masa ini, Lembaga Dana Angkatan Tentera (LTAT) ialah pemegang saham terbesar Affin Bank, memegang 28.79% kepentingan, manakala unit milik penuhnya Boustead Holdings Bhd memegang tambahan 20.02%.

 

Affin Bank, yang kedua terkecil daripada lapan kumpulan perbankan mengikut aset di negara ini, telah menyaksikan kenaikan sahamnya kira-kira 18.27% tahun setakat ini.

 

Sahamnya kekal tidak berubah pada RM2.46 pada hari Rabu, memberikannya permodalan pasaran RM5.77 bilion. - DagangNews.com