KUALA LUMPUR 5 Jun - Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) menetapkan piawaian pelesenan dan tatakelakuan bagi penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit bukan bank sebagai persediaan menjelang penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna 2025.
Piawaian yang berkuat kuasa mulai 1 Jun itu merupakan sebahagian daripada Fasa 1 Akta Kredit Pengguna (AKP) dan meliputi enam aktiviti perniagaan yang sebelum ini tidak dikawal selia.
Aktiviti tersebut ialah skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL), pemfaktoran, pajakan, kutipan hutang, pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas, serta kaunseling dan pengurusan hutang.
Dalam satu kenyataan, SKP berkata Piawaian Kebenaran memperincikan syarat serta proses pendaftaran dan pelesenan bagi entiti yang diberi kuasa.
Piawaian Tatakelakuan pula menetapkan kewajipan yang bertujuan menggalakkan amalan yang adil, bertanggungjawab dan profesional dalam industri kredit pengguna.
Pengerusi Eksekutif SKP, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, piawaian tersebut merupakan kerangka asas pertama di bawah Akta Kredit Pengguna 2025 yang menyediakan jangkaan dan panduan yang jelas berkaitan kemasukan ke pasaran serta tatakelakuan industri.
Beliau berkata, SKP akan terus berinteraksi dengan pemain industri bagi memastikan mereka bersedia menghadapi keperluan pelesenan dan pendaftaran yang akan berkuat kuasa pada penghujung tahun ini.
Menurut SKP, peserta industri diberikan tempoh peralihan selama enam bulan bermula 1 Jun 2026 bagi mematuhi keperluan baharu tersebut.
Selepas tempoh kelonggaran itu berakhir, sebarang operasi yang dijalankan di luar kerangka kebenaran yang ditetapkan akan dianggap sebagai pelanggaran peraturan.
Pengeluaran piawaian tersebut dibuat susulan sesi taklimat industri yang diadakan pada 18 dan 19 Mei lalu, yang menarik penyertaan lebih 400 peserta. - DagangNews.com








