KUALA LUMPUR 21 Julai 2026 - Geohan Corporation Berhad (Geohan) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Geohan Sdn. Bhd. menerima Surat Anugerah (LOA) bernilai RM40.9 juta daripada China State Construction Engineering (M) Sdn. Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Geohan berkata kontrak tersebut melibatkan kerja-kerja cerucuk gerek, konkrit bertetulang serta pembinaan dinding bawah tanah bagi projek pembangunan bercampur berprestij di Persiaran KLCC, Kuala Lumpur.
Projek berkenaan membabitkan pembinaan dua menara apartmen servis setinggi 65 tingkat dengan jumlah keseluruhan 850 unit, dan kerja-kerja tersebut dijangka siap pada awal Jun 2027.
Kemenangan kontrak terbaharu itu menyusuli kejayaan Geohan memperoleh kontrak Projek Pembangunan Xintiandi di Genting Permai bernilai RM28 juta, yang kerja pembinaannya telah bermula pada Mei 2026.
Dengan dua kemenangan kontrak berkenaan, jumlah nilai kontrak baharu Geohan sejak awal tahun kini melebihi RM200 juta, sekali gus mengekalkan buku tempahan kumpulan pada tahap kukuh sekitar RM420 juta.
Buku tempahan tersebut merangkumi portfolio projek yang pelbagai melibatkan pembangunan kediaman, pembangunan bercampur serta projek infrastruktur di seluruh Semenanjung Malaysia.
Geohan berkata, bil kemajuan daripada projek-projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan syarikat sehingga tahun kewangan 2027.
Pengarah Urusan Geohan, Lee Kim Seng berkata, kejayaan memperoleh dua kontrak dengan nilai gabungan RM68.9 juta itu mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan teknikal syarikat dalam menyediakan penyelesaian geoteknik walaupun berdepan persekitaran operasi yang mencabar.
"Di tengah-tengah landskap geopolitik yang sangat tidak menentu, kami berbesar hati berjaya memperoleh dua kontrak ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan Geohan sebagai pakar geoteknik pilihan," katanya.
Melangkah ke hadapan, Kim Seng berkata, syarikat kekal optimis dan komited untuk terus membina asas kukuh bagi pertumbuhan jangka panjang. - DagangNews.com








