Kuota haji Malaysia 14,306 jemaah tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kuota haji Malaysia 14,306 jemaah tahun ini

KUALA LUMPUR 21 April - Kuota haji Malaysia tahun 2022 adalah 14,306 iaitu 45% daripada kuota tahunan yang biasa diterima, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

 

Dalam pengumuman secara langsung menerusi Facebook hari ini, Idris berkata, peratusan sama (45%) terpakai kepada semua negara.

 

Arab Saudi tahun ini menetapkan kuota haji seramai satu juta jemaah bagi musim 2022. Jumlah itu adalah 45% berbanding 2.5 juta orang pada 2019.

 

TH katanya, akan keluarkan surat tawaran kepada bakal haji dalam masa terdekat.

 

Idris berkata, kuota sebanyak 14,306 jemaah itu ialah penurunan daripada seramai 31,600 jemaah haji Malaysia yang dibenarkan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu pada 2019.

 

"Ini (kuota jemaah bagi musim haji 2022) sudah tentunya berikutan penilaian dan langkah berjaga-jaga demi memastikan kesihatan dan keselamatan semua jemaah haji dari seluruh dunia.

 

"Jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.

 

"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota diberikan kepada jemaah haji Malaysia," katanya.

 

 

idris
Datuk Idris Ahmad

 

 

Sebelum ini, Idris dilaporkan berkata, kerajaan berharap kuota jemaah haji Malaysia ditambah jika Arab Saudi membenarkan negara luar menunaikan Rukun Islam kelima itu, tahun ini.

 

Beliau juga dilaporkan berkata, persediaan jemaah haji Malaysia untuk menunaikan ibadah itu pada tahun ini, termasuk logistik, penginapan hotel dan kemudahan lain sudah sedia, selain hanya menunggu pengumuman kuota haji oleh Kerajaan Arab Saudi.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneruskan bantuan pembayaran haji kepada bakal jemaah pada tahun ini, Berita Harian melaporkan.

 

Beliau bagaimanapun berkata, ketetapan bayaran baharu jemaah haji dijangka diumumkan pengurusan TH, esok.

 

"Sebagai pengumuman awal, bantuan pembayaran Haji tetap akan diteruskan oleh pihak TH bagi bakal jemaah Haji pada tahun ini.

 

"Jika tiada aral melintang, insya-Allah pihak pengurusan TH akan mengumumkan ketetapan bayaran baharu jemaah haji esok, pada waktu yang akan diumumkan kelak," katanya. 

 

Sementara itu, TH dalam satu kenyataan menyambut baik pengumuman Kerajaan Arab Saudi yang memberikan kuota sebanyak 14,306 kepada Jemaah Haji Malaysia bagi menunaikan ibadat haji pada tahun 1443H/2022M.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, TH telah memulakan persiapan awal dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan serta amalan norma baharu dalam pengendalian operasi haji sama ada di tanah air mahupun di tanah suci.

 

"Bagi pemilihan jemaah haji, TH akan mengutamakan bakal haji yang giliran tunai haji mereka pada tahun 2020, diikuti giliran tunai haji pada tahun 2021 dan seterusnya tahun 2022. Ini adalah berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan," katanya.

 

Katanya, rayuan haji melalui platform dalam talian THiJARI juga telah dibuka dengan keutamaan diberikan kepada rayuan mahram. - DagangNews.com