KUALA LUMPUR 7 Feb - Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkasakan pelajar dengan penganjuran Digital & Imaging Arts Festival (DIA Fest) 2023 buat julung kalinya menerusi kerjasama Bidang Pengurusan Industri Kreatif di bawah Pengajian Seni Liberal di Kampus UiTM Puncak Alam, pada 11 hingga 12 Februari 2023.
Ketua Pengajian Seni Digital dan Imejan KPSK, Ts. Dr. Mohd Erman Maharam berkata, sinergi pihaknya menjadi kenyataan dengan kerjasama dan semangat yang tinggi para pensyarah dan pelajar serta sokongan alumni yang kukuh.
Katanya, strategi yang signifikan dan membabitkan jalinan kerjasama ini pastinya akan diperhalusi menjadi satu model bersifat jangka panjang yang menguntungkan semua pemegang taruh.
"DIA Fest 2023 akan memasarkan dan mempromosi hasil karya pelajar kepada umum untuk mewujudkan jaringan intelektual antara pensyarah, pelajar, alumni, industri dan komuniti.
“Selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) iaitu menambah baik sistem pendidikan tinggi dan berhasrat untuk membangunkan bakat terpelajar dipacu nilai yang akan memberikan sumbangan kepada pembangunan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Projek DIA Fest, Azri Abu Hassan pula berkata, program itu selaras dengan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) untuk menjadikan industri negara berdaya saing dan dinamik untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan memartabatkan budaya negara bangsa.
“Antara karya alumni yang boleh diangkat dan dibanggakan ialah “Prebet Sapu” karya Muzzamer Rahman yang merupakan alumni KPSK tercalon mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik pada Anugerah Akademi Ke-94 di Los Angeles, Amerika Syarikat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengajian Seni Liberal, Dr Ahmad Kamal Basyah Sallehuddin menjelaskan bahawa kolaborasi ini merupakan satu manifestasi sinergi dalam usaha untuk mempromosi dan memperkenalkan program-program akademik setiap pengajian di bawah KPSK.
Katanya, perancangan yang sistematik diperlukan bagi mencapai objektif yang diingini dan sekaligus satu acara terhasil menerusi kerjasama tersebut.
“Setiap bidang mempunyai kekuatan tersendiri dan festival ini membuktikan bahawa kesemua bidang saling memerlukan di antara satu sama lain,” katanya.
Untuk maklumat lanjut berhubung DIA Fest 2023, orang ramai boleh menghubungi Darlina Baharuddin di talian 019-204 9520 atau lawati Instagram @DiaFest23. - DagangNews.com








