KPPK kekal komited laksana mandat biodiesel negara - Zuraida | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPPK kekal komited laksana mandat biodiesel negara - Zuraida

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jun - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memberi jaminan akan memperhalusi cadangan yang diutarakan oleh Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA), mengenai mandat biodiesel sedia ada.

 

Menteri KPPK, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kementerian juga mengambil maklum penjelasan mengapa Malaysia tidak seharusnya mengurang atau menghentikan mandat biodieselnya kerana industri biodiesel menggunakan tidak sampai 1 juta tan minyak sawit setiap tahun berbanding lebih 40 juta tan yang digunakan di seluruh dunia. 

 

"MBA juga telah menyuarakan pandangan bahawa jika bahan api bio yang diperoleh daripada minyak sayuran diharamkan, ia akan membawa impak besar ke atas pasaran minyak sayuran global," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Zuraida, kebimbangan itu disuarakan ekoran pandangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sehari sebelumnya 25 April 2022, bahawa kedua-dua negara pengeksport dan pengimport minyak sawit harus "mempertimbangkan semula keutamaan makanan berbanding bahan api untuk sementara waktu.

 

"Perlu diingatkan bahawa suatu ketika dahulu, jiran Malaysia dan pengeksport minyak sawit terbesar dunia, Indonesia hampir melarang eksport olein sawit yang ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD)," katanya. 

 

Beliau berkata, ia mendorong Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir yang juga seorang pakar minyak sawit untuk mengetengahkan pandangan beliau yang berlatarbelakangkan masalah bekalan minyak makan global yang tersekat di tengah-tengah keadaan cuaca buruk dan konflik Rusia-Ukraine.

 

"Gangguan daripada ketegangan geopolitik telah memburukkan lagi kenaikan harga dalam komoditi makanan yang telah berlarutan. Indeks Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) mencapai tahap tertinggi dalam sedekad dan ini memberi ancaman bukan sahaja kepada masalah kekurangan zat makanan global tetapi juga melonjakkan inflasi merentasi ekonomi maju, membangun dan kurang maju," katanya.

 

 

zuraida
Datuk Zuraida Kamaruddin

 

 

Katanya, KPPK juga ingin mengambil kesempatan untuk mengulangi ketetapan di bawah Dasar Biofuel Nasional (NBP) Malaysia yang telah dilancarkan padaMac 2006. Kementerian kekal komited untuk:

 

  • Mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45% daripada KDNK menjelang 2030.

 

  • Memperluaskan penggunaan produk minyak sawit hiliran bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil kelapa sawit melalui mekanisme kawalan harga pasaran minyak sawit.

 

  • Membantu mengurangkan pergantungan negara kepada bahan api fosil sebagai salah satu inisiatif keselamatan tenaga.

 

Tambahnya, Indonesia telah mengisytiharkan larangan eksport minyak masak dan bahan mentahnya pada 28 April (yang berkuatkuasa sehingga 23 Mei) dalam usaha memastikan bekalan minyak masak mencukupi dan pada harga berpatutan, untuk rakyatnya.

 

"Namun, keadaan telah kembali normal dan kita perlu bersikap rasional. KPPK ingin sekali lagi menegaskan bahawa tidak akan ada perubahan dasar di dalam mandat sedia ada berkenaan biodiesel negara," katanya. - DagangNews.com