Kos kerugian banjir 2022 cecah RM622.4 juta - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos kerugian banjir 2022 cecah RM622.4 juta - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb - Kos kerugian akibat banjir di Malaysia pada 2022 mencecah RM622.4 juta berbanding RM6.1 bilion tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Laporan Khas Impak Banjir Di Malaysia 2022.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah tersebut bersamaan 3% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal.

 

Beliau berkata, tempat kediaman mengalami kerugian sebanyak RM157.4 juta, manakala kenderaan RM18.8 juta, pembuatan RM8.7 juta, premis perniagaan RM50.3 juta, pertanian RM154.5 juta dan aset awam serta infrastruktur RM232.7 juta.

 

Daripada segi tempat kediaman katanya, Terengganu mencatatkan kerugian tertinggi berjumlah RM84.2 juta, diikuti Kelantan RM44.4 juta dan Kedah RM15.3 juta. 

 

"Bagi Terengganu, daerah yang mencatatkan kerugian tertinggi adalah Hulu Terengganu RM32 juta, diikuti Setiu RM14.5 juta dan Besut RM13.2 juta. 

 

"Di Kelantan,daerah Pasir Mas merupakan daerah tertinggi bagi kerugian tempat kediaman sebanyak RM28.7 juta, diikuti Tumpat RM3.6 juta dan Pasir Puteh RM2.8 juta. 

 

"Seterusnya, daerah Baling merekodkan kerugian tertinggi bagi Kedah dengan berjumlah RM14 juta, diikuti daerah Kulim RM600,000 dan Langkawi RM300,000," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

dosm

 

 

Menurut Mohd Uzir, bagi kenderaan, tiga negeri yang mencatatkan kerugian tertinggi adalah Kedah RM11.5 juta, Terengganu RM3.4 juta dan Kelantan RM2 juta. 

 

Katanya, daerah yang mencatatkan kerugian tertinggi bagi kerosakan kenderaan di Kedah adalah Baling RM11.5 juta, manakala daerah selebihnya mengalami kerugian kurang daripada RM100,000. 

 

Sementara itu katanya, Hulu Terengganu mencatatkan kerosakan kenderaan tertinggi berjumlah RM1.2 juta diikuti Setiu RM900,000 dan Besut RM600,000. 

 

"Daerah Pasir Mas merekodkan kerugian tertinggi bagi Kelantan RM1.6 juta, manakala daerah selebihnya mengalami kerugian kurang daripada RM100,000.

 

"Dari segi kerosakan sektor pembuatan, Terengganu merekodkan kerugian tertinggi di Malaysia berjumlah RM7.1 juta, diikuti Kelantan RM1.2 juta dan Sabah RM300,000.

 

Ujarnya, bagi Terengganu, Kemaman mencatatkan kerugian sektor pembuatan tertinggi dengan jumlah RM3.2 juta, diikuti Hulu Terengganu RM3.1 juta dan Besut RM400,000.

 

Di Kelantan katanya, Pasir Mas merupakan daerah tertinggi bagi kerugian sektor pembuatan berjumlah RM800,000, manakala Kota Kinabalu mencatatkan kerugian pembuatan tertinggi bagi Sabah berjumlah RM100,000.

 

Tambah Mohd Uzir, Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi bagi kerugian premis perniagaan, berjumlah RM25.3 juta, yang mana daerah Hulu Terengganu mencatatkan kerugian berjumlah RM10 juta diikuti Besut RM6.1 juta dan Setiu RM2.9 juta. 

 

Kelantan merupakan negeri kedua tertinggi bagi kerugian premis periagaan dengan kerugian RM18.3 juta dan seterusnya, Kedah RM2.8 juta, katanya.

 

Bagi Kelantan, Pasir Mas adalah daerah tertinggi dengan jumlah RM14.3 juta, diikuti Tumpat RM1.3 juta dan Pasir Puteh RM1 juta. 

 

"Seterusnya, kerugian premis perniagaan di daerah Baling, Kedah berjumlah RM2.7 juta, manakala daerah selebihnya mengalami kerugian kurang daripada RM100,000. - DagangNews.com