Kos bahan mentah, pengangkutan dan perbelanjaan berkaitan COVID-19 jejas prestasi Daibochi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos bahan mentah, pengangkutan dan perbelanjaan berkaitan COVID-19 jejas prestasi Daibochi

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 7 Dis - Pengeluar pembungkusan plastik Daibochi Bhd menyaksikan keuntungan bersih suku pertama berakhir pada 31 Oktober 2021 (1QFY22) merosot sebanyak 23.37% kepada RM9.8 juta daripada RM12.79 juta tahun lalu terutamanya disebabkan oleh harga bahan mentah yang lebih tinggi, kos pengangkutan dan perbelanjaan berkaitan COVID-19. 

 

Menurut kenyataanya kepada Bursa Malaysia, prestasi menurun itu mengakibatkan pendapatan sesahamnya turun kepada 2.99 sen daripada 3.91 sen. 

 

Kumpulan itu berkata, hasil suku tahunannya, bagaimanapun meningkat 15.09% kepada RM180.32 juta daripada RM156.68 juta, didorong oleh jualan yang lebih tinggi dalam pasaran domestik dan eksportnya.

 

"Kumpulan mengisytiharkan dividen interim tunggal sebanyak 2.5 sen sesaham kepada para pemegang saham yang akan dibayar pada 10 Januari 2022," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

 

Kumpulan itu bagaimanapun tidak mengisytiharkan sebarang dividen untuk 1QFY21. 

 

Pada asas suku tahunan (qoq), keuntungan bersih kumpulan meningkat sebanyak 10.27% daripada RM8.89 juta yang dilaporkan pada suku sebelumnya (4QFY21) manakala hasil meningkat sebanyak 34.94% berbanding RM133.73 juta yang dicatatkan suku sebelumnya. 

 

"Melangkah ke hadapan, kumpulan kekal komited sebagai penyedia penyelesaian pembungkusan plastik fleksibel (FPP) yang mampan dan inovatif kepada jenama F&B domestik dan global utama serta barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) di tengah-tengah landskap perniagaan yang mencabar.

 

“Kumpulan kekal fokus untuk membangunkan FPP yang inovatif dan mampan untuk bergema dengan arah aliran pasaran dan memenuhi keperluan kemampanan pemilik jenama yang berkembang. 

 

“Gangguan rantaian bekalan global seperti turun naik harga bekalan dan bahan mentah, isu kontena dan kelewatan kapal memberi kesan kepada keupayaan kumpulan untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggannya, mengakibatkan masa menunggu yang lebih lama.

 

“Oleh itu, kumpulan itu akan terus bekerjasama rapat dengan pembekal dan pelanggannya untuk mengurangkan dan mengurus cabaran operasi ini bagi memastikan komitmennya kepada pemilik jenama domestik dan luar negara kekal tidak terganggu,” katanya. -DagangNews.com